..: SolitudeInMind's Registered Copyright :..

Wednesday, March 26, 2008

Tikus

I

Jariku digigit tikus
Mungkin darahmu masih manis
(usik temanku)
Mustahil, aku sudah terlalu tua
Darahku pula telah tuna rasa

Esoknya aku memasang perangkap
Tikus itu mesti ku jerat
Nantinya akan ku ajar ia
menghormati hak orang lain


II

Namun tikus itu sebenarnya bijak
Setelah dijamahnya umpan
Jejak tidak ditinggalkan
Malah wujudnya pun dinafikan



12032002

Tuesday, March 25, 2008

Semurni Kasih

jernih matanya
menyembunyi keringat
ulas semyuman
merahsia kepayahan

dosa apakah gerangan
hingga kemuliaan
dibalas dengan kecurangan
sedang syurga di kakinya

mampukah melutut
memohon restu
redhakanlah
Ya Tuhanku

tertitip sudah taufik hidayah
tinggal sendiri untuk berbuat
belum terlewat untuk bertaubat
mengikut jalan yang tersurat

Ya Rasyid, semurni kasih-Mu
berikanlah kekuatan padaku
mendapatkan keredhaan-Mu
di dalam keredhaannya



08032000


Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Jika dibolehkan manusia menyembah manusia, aku mahu
memerintahkan seorang isteri menyembah suaminya...."

Menam Kolok

gadis sunti di seberang
melambai tangan mengundang
dengan lirikan mata jeli
kulit putih melepak
yang bersadur dengan bedak

perlu bersampankah kita
atau randuk saja
air yang separas peha
biar nanti basah dan
sejuk kita bersama

lelaki tua di sebelah
tersenyum membariskan gigi
kuning lagi berkarat
sambil tangannya ligat
mengulung rokok daun

matanya seolah mengisyarat
pilihlah sampan mana
yang paling disuka
tak perlu bayar muka
dan janganlah tergesa

wanita tua di anjung
duduk bersimpuh kaki
merah bibirnya
kesan sirih yang dikunyah
lumat tapi enggan diluah

wajah bonda tergaris kisah usia
muncul dengan tiba-tiba
alangkah enak menjilat jari
setelah puas menjamah nasi
berlauk paceri nenas dan ikan masin

gadis melambai hilang seri
wajah bonda menguasai
lantas kaki melangkah pergi
meninggalkan kisah sehari
Menan Kolok di dinihari



15032000

Cahaya

Senja di langit merah yang berarak
Membawa berita duka dan luka
Saudara seagamaku telah gugur
Di usia muda anak gadis

Mungkin baginya jasad tiada nilai
Walau berkecai diledakkan bom
Kerana jiwanya merdeka
Dan jihadnya untuk agama



Circa2002

Novel

Semasa mula membaca novel itu dulu
kita mulakan dengan sama rasa
karya kita pun sama jiwa
dan tika itu semua indah belaka

Di pertengahan novel itu
kita mula menyelami rasa
setiakah kita pada kata
sedangkan takdir jelas nyata

Di akhir novel itu
kau tuliskan kata
ada yang enggan lepaskan
ada yang enggan lupakan

Dan di akhir novel itu juga
ku coretkan rahsia
yang aku sebenarnya
telah tuna segala rasa



Circa2002

Lambaian Kaabah

Aku sedang leka
melirikkan puisi
menjadi lagu

Dari jauh ku dengar
Lolong suara mendayu
Syahdu memuji nama-Mu
Asyik dalam selawat tsalbiah

Labbaikallahumma Labbaik
Labbaikala Syarikalakalabbaik
Innal Hamda Wani'qmata
Lakawalmulka Laa-syarikalaka...

Tuhanku
bilakah giliranku
mengadap-Mu



15032002

Ma Di Mana (Sajak Buat Ma)

Ma di mana
nak ku catatkan namamu
biar hanya sebahagian

Ma di mana
burung camar yang dulu
riang menyanyikan lagu

Ma di mana
hilang janji bertemu
di banjaran itu

Ma di mana
katamu biar apa terjadi
aku tetap di hati

Ma di sini
Ku campakkan bayang dirimu
dan daerah sepi itu
tidak akan lagi ku tamu



12032002

Matlamat Cinta

Ketika kau suguhkan
segelas sirap merah
aku meminumnya tanpa bertanya

Setelah habis ku minum
kau tersenyum dan berkata
tahukah apa yang telah kau minum
dan aku hanya menggeleng

kau minum sebahagian darah
yang mengalir di batinku katamu
masakan begitu soalku

Sambil mengengam jemariku
kau bisikkan mesra
mari ku ajarkan pada mu
bagaimana batinku sudah
berada di perut mu....



12022002

Malam Pertama

Kamar sesuram cahaya itu
tiba-tiba sahaja menjadi hangat
di birai ranjang ku lihat engkau
leka menguis jari kaki kanan mu
dengan jari kaki kiri mu

Saat ku duduk di sisi mu
engkau menginsut menjarak malu
lantas ku tarik jemarimu mendekat
dan ku bisikkan nafasku hampir ke lehermu

Bukalah sayang hijabmu
aku ingin melihat warna-warna
indah di bibir dan di dadamu
dan kamar ini nanti bakal
berubah warna dan rasa
kerana aku mula terbaukan haruman bunga



12022002

Lihatlah

mereka mengcanangkan dosa
bangga dengan kata-kata
mereka hebat belaka

silu mereka sudah tiada
di taman-taman di kaki lima
mereka membuktikan cinta

bila di tanya jawap mereka
sebelum kami hidup bersama
nikmati dulu indah musim cinta

mungkin mereka terleka
hidup bukan selamanya
atau mungkin mereka terlupa
Tuhan melihat setiap dosa



21012002

Junk

Today..
You said you love me
But then..
when there is no love
Just put my name
in your JUNK list..



19012002

Kota Airmata

Terdengar sedih berita
kisahnya kota airmata
dalam sebahagian manusia
mencari redha Tuhannya
sebahagian sibuk berjual beli
bukan setakat gelang dan celak
malah ada menjaja diri

aku cuma tersenyum
kemudian tawaku jadi hiba
di hati berkata
insaflah wahai manusia
aku dulupun seorang pendosa
tapi tak pernah merasa bahagia
pulanglah sementara
pintu taubat masih terbuka..



19 Januari 2002

Kisah Cerita

ku selak singkap
helaian kainnya yang nipis
ku intai keindahan
rahsia garis-garis
hitam di dadanya

saban malam aku tertewas
dalam dakap ghairah
meneroka dengan mata
keindahan lakaran cerita
dan ku terlena di dadanya

bila terjaga paginya
ku singkap kembali helaian nipis
sekali lagi ku telanjangi
dengan mata dan jari
mentelusuri garis-garis
di dada "BUKU CERITA"...



Kuala Lumpur
1 Syaaban 1422

Banjir

Di dalam banjir
Aku terkenang kekasihnya orang
Di hati tidak putus berdoa
Ya Tuhan selamatkanlah mereka
kerana di antara mereka
ada insan yang aku cinta



circa 2002

Senyap Dan Sunyi

Aku masih lagi
menganyam buih-buih kenangan
menjadikannya selimut sunyi
dan diammu membiakkan
sel-sel zarah senyap
dalam lingkungan daerah sepimu

Pergilah!! kata hatimu
Pergilah!! kata hatiku
di situ kita terpisah

lantas kita bina tembok
dari serpihan kaca luka
merawat sengsara diri
dalam senyap dan sunyi



Kuala Lumpur
1 Syaaban 1422

Bebukitan

Air lumpur mengalir
bersama serpihan butiran
pasir yang terserpih
akibat tusukan jentolak

kawasan itu dulunya
rimbun dengan hutan
kata ibuku tempat
itulah leka jin bertendang
aku cuma tercengang

antara kehijauan dan desakan
kata ayah bumi ini semakin
kurang tanah akibat
saratnya kehendak...



Circa2000

Antara Bukit Dan Sungai

Saban pagi tiung emas
berkicau riang di jendela
aku seolah hanyut dalam
riuh kicau sang tiung
yang leka bercerita
kisah kota cinta Taj Mahal

di pintu kamar ibuku
tersenyum sambil bernyanyi
lagu irama melayu asli
"Anakku sesungguhnya sungai Nil
pun akan terus mengalir membawa
pelbagai cerita suka dan duka"

aku lantas bangkit
meninggalkan ranjang yang
terlalu lama ku huni
berjalan mengadap mentari
sambil menghirup udara nyaman
di antara bukit dan sungai



Circa2000

Sepasang Nuri

Sepasang nuri
di dahan mati
merenung sesama sendiri

Jantan;
Cinta?
Tidak!
Cinta?
Hmmm... Tidak!!

Betina;
Cinta!
Benci?
Aku cinta...

Akhirnya yang tinggal kini
hanya dahan yang mati
menjadi bukti cinta sang nuri
bertepuk sebelah tidak berbunyi



Circa2000

Kejayaan

Memang benar,
adakala kita keliru
dengan arah dan tujuan

Memang benar,
adakala kita tertipu
dengan indahnya pujian

Namun,
semakin banyak cabaran
semakin bernilailah kejayaan



Circa2000

Asal

Berdiri sendiri di sini
Alam seolah mengelilingi
Putaran itu hampir mengangkatku
Lantas aku seolah terapung-apung

Dikejauhan ku lihat
Kabus tebal berarak
Mungkinkah hujan akan turun
Ataukah tanda petakakan tiba

Mataku bagaikan buta
Dengan teraba-raba
Ku cuba mencari jalan
Asalku bermula....



Circa2000

Requiem

Dulu dengan berkias
Kau tuliskan mentera
Bersaksikan api kita sehati
Mengelilingi unggun terikat janji
Walau apa terjadi aku tetap di hati

Tapi kini kau sembahyangkan aku
Dengan nyanyian hati
Yang aku sudah mati
Terkubur sebagai orang
Yang paling kau benci



Circa2000

Kuala Lumpur Tidak Pernah Siap

terbatuk-batuk injin kereta
tercatuk membuntuti
sesak lagi kota ini

di tempat duduk belakang
ibuku leka memandang
tepi jalan yang berlubang

katanya;
sejak merdeka hingga kini
Kuala Lumpur tak pernah siap!

dan aku hanya mampu tersenyum
melihat bangunan,lubang dan jalan
tumbuh bagai cendawan



Circa2000

Bahagia

Denai yang ku telusuri
Saban hari bersamamu
Seolah sudah mengenal
Derap tapak kaki kita

Di hujung semak itu dulu
Aku hampir saja pengsan
Kerana pertama kali
Terserempak ular lidi

Masih ku ingat tawamu
Katamu, gadis kota
Tidak pernah merasa bisa
Akibat terlalu dimanja

Waktu itu ku cubit lenganmu
Dan perlahan kau bisikkan
Ke telingaku, katamu;
"Aku sudah tidak rasa sakitnya
kerana aku sudah biasa
dengan peritnya luka"

sesampai di puncak bukit itu
kau genggam erat jemariku
katamu lagi;
"Biarpun sakitnya luka
asalkan engkau ada
aku tetap bahagia"



Circa 2000

Keroncong Untuk Aku

gitar kapuk di sudut almari
seolah berteriak ke arahku
ambillah dan petiklah aku
nyanyikan sepimu
lagukan sendumu

lantas gitar itu ku pegang
ku bersihkan debu yang melekat
ku petik talinya satu persatu
ku lagukan melodi sayu
keronsong untuk aku!

sambil memejamkan mata
ku hayati lembut alunan melodi
ku bayangkan wajahmu
yang terlalu ingin ku renunggi
lalu cuba ku sentuhi keningmu

tiba-tiba tanganku bagai
dilibas pedang tajam
tali gitar itu putus
dan jariku terluka
namun yang ku lihat
megalir bukan darah
tapi airmata



circa2000

Aku Tidak Mahu Jadi Kudis

biarkan aku lepaskan semua
amarah yang selama ini
tersengkang di dada
kerana aku enggan
tunduk pada kegagalan

egokah bila kejantananku
enggan beralah pada
kehendak tuntutan mereka
salahkah jika aku tak
pernah mahu peduli
tentang hati mereka

penting dirikah aku
bila aku tegas
berpegang prinsip
Engkau!
Engkau!
Aku!
Aku!

aku tak pernah
suruh mereka sayang aku
mereka yang terhegeh
menjajakan cinta
dengan menetapkan hantaran
mahal belaka!

walaupun ada yang sanggup
lari ke seberang bersama
aku masih punya harga diri
aku tak mahu jadi kudis!
jijik dipandang orang
oleh itu lebih baik
aku hidup membujang!!!



05112000

Hayad

Percikan darah merata
Semua makhluk berhimpun
Terdengar mereka berbisik
Sesama sendiri
Manusia ini sesat!
Manusia ini munafik!
Biar dia mati terseksa!

Manusia itu
Terlentang jasadnya
Luka di dadanya
Membuakkan darah
Namun tiada siapa
Yang membantunya
Manusia itu seolah
Dihukum untuk menderita

Apa yang telah terjadi?
Soalku kepada manusia itu
Sambil mengoyakkan secebis
Bahagian hijabku
Buat menyumbat luka
Di dada nya

Namaku Hayad!
Aku ditikam oleh cintaku
Jiwaku tak dapat diselamatkan
Lagi luka ini terlalu dalam
Tinggal sedetik lagi
Hanya sedetik saja lagi.....

2 Jamadilawal 1412H
Jasad Hayad di masuk ke lahad
Jiwanya telah mati
Dan aku terus melangkah
Meninggalkan pusara cinta itu
Dengan tekad untuk
Tidak menoleh lagi!



06102000

Istana Pasir

menyusuri pantai ini
sendiri aku kini
ombak yang menyapa kaki
ku perhati namun bila aku
cuba menyentuhi ia berlalu
meninggalkan aku sendiri lagi

seorang anak kecil
berlari menghampiri
digemgamnya sebungkah karang
katanya buat lambang
menara istana pasir
yang dibinanya penuh cita

ketika menoleh
istana itu musnah
dihempas ombak ganas
namun anak kecil itu
tersenyum dan dengan
tekun membina lagi
istana pasir penuh cinta
tanpa jemu dan putus asa



circa2000

Memori

Dulu...
Aku berdiri di permatang sawah
Memerhati mentari terbenam
Cahaya merah menyelaputi awan

Dulu...
Di permatang ini ku ukir
Sebuah janji padu
Nasibkan ku ubah
Kaca kan ku jadikan permata
Air mata dan peluh keringat
Ku jadikan mutiara

Kini...
Mentari di permatang
Tetap berlabuh dan
menyebarkan cahaya merah
Aku berdiri di sini

Tapi kini...
Di genggaman ku
Yang utuh dan padu
Ada permata dan mutiara
Yang ku cari selama ini



Majalah Maxwellian 1995

Aku, Petani Dan Sawah

Semasa aku pulang
ke desa permai
ku lihat di permatang sawah
petani begitu tekun berkerja
menanam dan mencari rezeki
di bumi yang indah ini
Aku lalu duduk
melabuhkan punggung di tali air
merenung ikan rancak menari
irama lagu anak petani
yang semakin pincang melodinya


Ku renung
sawah yang terbentang
semakin gersang dijajah kemodenan
tinggal hanya tulang-tulang tua
membanting, berjuang penuh semangat
demi meneruskan sebuah tradisi
tradisi yang tercemar oleh
lumpur yang hina lagi ternoda


Aku, petani dan sawah
mencari dan dicari oleh
peredaran masa silih berganti
memanjat usia dan tradisi
namun begitu,
aku, petani dan sawah
tetap melingkar dan berbaur
dalam satu pengertian
milik yang Satu



Majalah Maxwellian 1995