..: SolitudeInMind's Registered Copyright :..

Monday, April 4, 2011

Dua Sarah

 

IMG_5780

Petang yang aman, petang yang cerah

Aku baru selesai mengoreng keropok lekor

Dan membancuh seteko teh ‘o’

Kemudian duduk di beranda

Menanti pulangnya suamiku

 

Tiba-tiba loceng pintu berbunyi

Aku mencapai jubah dan hijabku

Berjalan ke pintu dan mengintai

Di lubang pintu rumahku

 

Berdiri disebalik pintu

Dua Sarah melambai-lambaikan tangan

Senyum lebar diwajah mereka

Mengisyaratkan agar pintuku buka

 

Perlahan pintu ku buka

Bertanya apa perlu mereka

Cuti-cuti begini dari mana saja mereka?

Cuti-cuti begini mahu mengulangkajikah mereka?

 

Jauh dua Sarah datang

Semata hendak memberi aku hadiah

Duit yang mereka kumpul dari

Duit belanja yang tak seberapa

Sebuah bingkai gambar berwarna biru

Dengan tiga kuntum bunga matahari di bucu kirinya

 

“Satu itu saya, satu itu dia”

Kata dua Sarah

“Satu yang ditengah itu Cikgu”

Terharu aku mendengarnya

 

Petang itu kami minum bersama

Girang dua Sarah mengunyah keropok lekor

Dan roti yang kusapu mentega dan kaya

Itu terakhir aku bertemu mereka

 

Lama selepas itu baru kudengar khabar berita

Dalam perjalanan balik dari rumahku

Duit mereka berdua dicuri orang

Mereka terpaksa berjalan kaki pulang

Tak cukup itu mereka dirotan kerana lewat pulang

Selang beberapa minggu kemudian

Rumah setinggan mereka di tolak jentera

Malang yang bertimpa-timpa

Aku hilang jejak kedua mereka

 

Bingkai gambar walau telah patah sendalnya

Masih jugaku simpan rapi di peti

Setiap aku melihat bunga matahari

Dua Sarah yang kusayang kuterkenangkan

Kemas dalam ingatanku yang pernah bergelar Cikgu

 

 

31032011

Kuala Lumpur

SunKutulis buat Dua Sarah (Nur Sarah Deyana Abdul Wahab & Siti Maisarah Othman). Dua Sarah berjaya dalam hidup mereka. Satu itu di Brunei. Satu itu di Australia. Satu yang ditengah itu masih di Malaysia. Walau sudah bersara dari kerjaya Guru. Masih juga Dua Sarah panggil ‘Cikgu’. Terima kasih.

No comments: