Wednesday, June 27, 2007
Siri Sajak Buat Noha
Noha I
sepagi ini ketika
beburung berkicap riang
yang terdengar hanya
sindir sang gagak seolah
mentertawakan kisah kita
namun kau dan aku
masih mampu tersenyum
dan berbicara tentang
keindahan hasil tulisan
mereka yang bergelar
sasterawan negara
cerita tanah, air dan udara
semua terungkap bersama
sesekali terselit jua
kisah cinta luka dalam
senda yang bersahaja
Noha II
kau tulis lagi lagu itu
bertabir di celahan rindu
namun aku tidak mampu
tersenyum dan ketawa
kerana jiwa penuh hiba
lagu itu kau biarkan
tertulis tanpa melodi
dan aku cuba bernyanyi
tapi kau hanya memerhati
tanpa kata dan suara
katakan Noha adakah aku perlu
berdiri menghampiri
mengharap suatu masa
kau mengerti rasa yang
tersimpan di hati
Noha III
sering ku angankan jemarimu
mencalitkan sindur di dahiku
dengan lafaz ijab dan qabul
ikatkanlah mangar sutra
di jari manisku sebagai bukti kasih kita
dan mimpi menjawap semua
persoalan yang teradu pada-Nya
andai itu takdir kita berpisah buat selamanya
aku terima dengan redha
tersurat sudah sekufu dia buatmu
aku seharusnya menduga
epilog cinta berakhir
episod luka bermula
semenjak kau tiada
namun hatiku pejal menantimu
ku harap lagi mimpi itu
walau ku tahu hadirmu
bukan takdir untukku
Noha IV
Noha, ku tatap lagi
matamu yang jernih berkaca
sejernih air telaga
ataukah hanya getar jiwa
dimainkan asmara
mungkinkah sinar mata
Oedipus dan Jocasta
yang kau miliki membuat
aku melangkah bagai
tidak terjejak tanah
lantas berani ku dakapi
jasad terdedah penuh ghairah
namun yang terdengar
derik desah api menongkah
aku jadi tuna kama
malah tuna segala
dengan suara hiba
dialun manzil sebagai shifa'
buat diri yang sakit
jiwa dan raga
Noha V
Noha, sudah sampai noktahnya
dan aku terpaksa memilih
untuk terus bermimpi
atau menghadapi realiti
lantas ku biarkan namamu
terpahat di sejarah diri
kerana aku tidak mampu
membunuh kata hati
camar yang berterbangan
meneriakkan lagu bayu
bercerita tentang sepasang jiwa
yang ditakdir bertemu
dalam bicara bisu
bunyi ombak menghempas batu
bagaikan memberitahu yang
aku perlu berlalu
sempat ku renung matamu
di celahan pucuk Rhu
dan ku dakap erat
gambarmu di hatiku
circa2000
Pantai Sepat Kuantan, Pahang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment