Sebelum kau duduk
menumpang di rahim ibu
tiga subuh aku tersentak sedar
mimpi sama berulang-ulang
suara ayat suci dialun merdu
seorang wanita hamil tanpa wajah
leka duduk mentelaah
Maka bertanyalah aku
"Siapakah gerangan pemilik suara merdu
mendayu-dayu mengalunkan Firman Allah?"
Berkatalah satu suara
"Dialah seorang yang Syakir yakni
orang yang sentiasa bersyukur"
Satu hari tika ibu leka memerhati
muslimin pulang selepas solat Jumaat
engkau tiba-tiba meronta ingin keluar
dari alam rahim ke alam fana
maka berselokalah aku sambil tersenyum
"Anakku sayang engkau terlewat
menunaikan solat Jumaat"
Setahun telah berlalu
dari saat mata mu bertemu mata ku
hati ku bertaut hati mu
engkaulah penawar duka hati ku
engkaulah lelaki yang kedua
ku cinta selepas Babah mu
kerana syurgaku di kakinya
dan syurgamu di kaki IBU...
Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment