..: SolitudeInMind's Registered Copyright :..

Thursday, December 6, 2007

Benih

Benih yang ditanam
Membiakkan ulat
Membakakan lalat
Walaupun satu sayapnya racun
Satu lagi sayapnya penawar
Tetap juga buruk wujudnya.



191107

Memberi Tidak Menerima

Berkoleklah mereka
Dari hulu ke hilir muara
Sungai ini sudah tidak lagi
Membenihkan hasil
Merajuk barangkali
Kerana ia sering murah hati
Sayangnya manusia hanya tahu menerima
Tetapi selalu lupa memberi kembali



191107

Bahagia Antara Duka Dan Luka

Secangkir duka
Seberkas luka
Tidak cukup bisa
Untuk membunuh rasa
Cintaku kepadanya

Mungkinlah nanti tika
Tawar segala rasa
Dapat aku membuka
Segala ruang di dada
Untuk sama merasa bahagia



131107

Bersih

Berpayung kuning mereka
Dibawah hujan bisa
Diantara asap pemedih mata
Semata kerana mereka "Tak Nak"
Dasar demokrasi negara



101107

Anak Gadis Dan Bendera Di Malam Merdeka

Didadanya ada bendera
Cukup-cukup menutup dada
ditatunya '50 Tahun Merdeka'
Sedikit atas dari alur punggungnya
Begitu rupanya anak gadis kita
Menghayati 50 tahun merdeka



300807

Saturday, August 11, 2007

Antara Sihat dan Sakit

Bila sihat
Kita lupa
Rasanya sakit

Bila sakit
Kita ingat
Nikmatnya sihat



11082007
Kuala Lumpur

Sunday, August 5, 2007

Duduk Paling Sisi

Duduk paling sisi
Yang lalu-lalang
Menyesak diri

Duduk paling sisi
Supaya mudah
Aku lari



04082007

Wednesday, August 1, 2007

Suci

Ditakdirkan
dia lahir
dia hidup
dia kembali

Tanpa dosa
kepada ayah
kepada ibu
kepada keluarga
kepada sesiapa

Semuanya kerana
Tuhan lahirkan dia
Kemudian Tuhan
mengambil kembali dia
bersih zahir dan batin




01082007
Kuala Lumpur

Sunday, July 22, 2007

Pesan Opah

Sukat beras
Secupak hari ini
Secupak hari esok
Secupak bila sesak

Tanak beras
Api perlahan
Tak berkerak
Tak hangus
Habis dimakan



22072007

Aku

Aku tidak sebak
Aku tidak sesak

Aku tidak sakit
Aku tidak sesat

Aku tak apa pun.



20072007

Friday, June 29, 2007

Tanpa Tajuk #8

Pergilah
Seberang
Lautan

Semakin
Dekat
Kau

Semakin
Sengsara
Aku



24/02/05

Kuala Lumpur

Kuala Lumpur di pinggir kotamu
lahirnya aku menghirup udaramu
yang cemar dikata orang
di sini aku dewasa dengan
rencah dan ragam manusia

Di kota ini ku kenal erti cinta
Di kota ini juga ku bina mahligai bahagia
Di sini juga benih cintaku berbunga mekar
dan di sinilah ku temui segalanya



Kamar Study
090305

Seorang Bapa

Seorang bapa
kaya anak
miskin jiwa

Seorang bapa
kaya segala
mati kuasa

Seorang bapa
hidupnya jadi
hamba sahaya



rewrite on18/2/2005
Bilik Study

Falsafah Cinta (1)

Dari teman jadi kekasih, mudah.
Dari kekasih jadi teman, payah.



07/02/05-Isnin
Ruang Tamu

Doa Buat Cinta

Hadirmu tak pernah ku undang
Pergimu juga tak pernah ku halang
Disebabkan itu maka biarkanlah
Apa yang terjadi, terjadi
Yang mendatang, perbaiki



030205-Khamis
Kamar Beradu

Tanpa Tajuk

Bukakan lembaran baru buat ku
Agar dapat ku lupakan segala kenangan
Yang telah lama menyesakkan dada
Moga-moga nanti taubatku diterima-Nya

Dalam jalinan sutera putih
Kau tahan lapar dahaga
Tika gelap aswad menjelma
Berdirimu mencari redha
Dalam lena si alpa...



2004

Wajah

Lihatlah aku
Bukankah kejadian aku
Adalah sebahagian kamu



Kuala Lumpur
05062004

Sajak Untuk Sahabat Jauh (#1)

Saudara,
Saya ingin bercerita tentang
suasana negara kita
walau saya tahu
saudara tidak perlukan saya
untuk tahu segala berita

Saudara,
Macam penggal sebelumnya
BARISAN menang lagi
menang besar
Saya nantikan email saudara
macam yang dulu-dulu
ingat lagi pilihanraya yang dulu
email saudara ringkas tapi padat
'PAS kalah!!'

Saudara,
Saya kira istilah melayu mudah lupa
tidak tepat sama sekali
buktinya bila ditanyak
enapa pangkah BARISAN
jawap mereka 'kami tak pernah lupa
BARISAN banyak berjasa
Sebab BARISAN kita merdeka'

Saudara,
banyak sungguh nak cerita
tapi masa tak ada
sambung lain masa
sebelum terlupa
jadikan keju menu utama
kurus sangat saudara
mata cantik pun tak guna
kalau badan tak bertenaga



28032004
UIAM GOMBAK

Pesan Ummi

Hello T,
Ummi ni,

T dah beli beras
T dah beli tepung
T dah beli gula
T dah beli susu
T dah beli barang dapur

buat apa semua tu?
untuk apa semua tu?
bukan apa esokkan mengundi


InMind
18032004
Kuala Lumpur

Bisu

Bukan enggan berbicara
Cuma aku tak punya masa



09032004
Kamar Study
Kuala Lumpur

Tiada Tajuk

yang lepas
lupakan
pedulikan

yang datang
azamkan
perbaikkan



02012004
Kuala Lumpur

Putih Ihram Hitam Kiswah

Berduyun mereka datang serba putih
segala warna hidup mereka tanggalkan
moga putih mereka datang
putih juga mereka pulang

Datang mereka kerana Allah s.w.T
yang memerintah Ibrahim dan anaknya
membina Kaabah demi taat perintah
biarpun hitam kain kiswah
janganlah hitam Ukhuwah Fillah

Labbaik kallah......



23092003
Kuala Lumpur

Haiku #1

Marilah sayang
Kita ciptakan cinta
Leraikan rindu



Kuala Lumpur

Bosan Seorang Lelaki Kepada Gundik-gundiknya

bosan dengan karenah kalian
apa saja yang ku minta
kalian banyak beralasan
nyah kalian!!!

aku benci kalian
satu sen hapah tak berguna
bukan besar sangat pinta ku
cuma seorang menolak
yang seorang lagi menarik

pinta yang satu itu pun
kalian berdolak dalih beralasan
sekarang nyah kalian
biar aku layan diri!!!
biar aku buat sendiri!!!



Bangku Taman
Kuala Lumpur

Khabar Buat Rin

Rin,
kata mereka aku pendosa
hanya kerna jatuh cinta
setelah aku berpunya

Rin,
kata mereka tiada tempat
untuk aku di syurga
hanya kerna aku jatuh cinta
setelah aku berpunya

Rin,
kata mereka pintu taubat tertutup
semua jalan tertutup buat ku
hanya kerna aku jatuh cinta
setelah aku berpunya

Rin,
kata mereka kifarah Tuhan
jelas nyata di dunia
hanya kerna aku jatuh cinta
setelah aku berpunya

Rin,
itu kata mereka
itu hina mereka
itu caci mereka
itu nista mereka

Rin,
dan kini aku tak punya siapa
hanya kerna aku jatuh cinta
setelah aku berpunya



Kuala Lumpur
12 Ogos 2003

Surat

kata mu;
surat ini ku tulis dengan airmata
aku tidak pernah menangis
untuk apa pun,
untuk sesiapa pun
tapi kau...
kau... kau...aahh...
engkau lain..

kata ku;
lain apalah yang ada padaku Tuan?
andai Tuan kenali aku
aku tak punya apa,
aku tak punya sesiapa
tapi aku...
aku... aku...aahh...
aku rindu kamu..



21 Julai 2003
Kamar Study
Kuala Lumpur

Sukma, Raga, Minda

sukma...
soalmu tidak terjawap
mungkin kerna raga
mengalah sebelum minda
sempat membuahkan ilham
lantas pertanyaanmu sukma
dijawap dengan pertanyaan

raga...
penyerahanmu nanti bakal jadi sia-sia
kerna kau tahu bukan
minda dan akal waras
tidak pernah sehaluan
dengan nafsu yang mengepalai
tindak-tanduk raga yang terlupa

minda...
mungkin kadang rasa tidak berdaya
menguasai kewarasan akalmu
walau sesekali engkau kalah
bukankah manis sebuah pengalaman
bisa mengubat sakitnya sebuah luka

lantas...
sukma, raga dan minda
mengapa kalian berbalahan sesama
andai terjadi dosa bukankah silapnya kalian juga
jika berpahala bukankah manfaatnya kalian juga

lalu...
lupakan persengketaan
bukankah bila-bila sahaja
pintu itu sentiasa terbuka
dan titik temu walau sejarak manapun
pastikan jadi satu kerna
Tuhan yang di atas
tidak pernah berlaku zalim



Kuala Lumpur
100703
11.28pm

Bicara Buat Ummi

ummi masih ku ingat
titisan jernih mengalir
bila kau suarakan kisah
derita zaman remaja
serta sengsara usia tua

aku cuba tersenyum
menyembunyi sebak di dada
aku juga semakin tua
dan kini mula merasa
betapa nikmatnya usia muda

aku akui benar kata ummi
berat matamu memandang
berat lagi bahuku memikul
dan sering hatiku berkata
aku bahagia! aku bahagia!
hanya mencintai Dia



17 Mei, 2000

Biarlah Aku Diam

mungkin inilah kali
terakhir aku singgah
di medan coretan ini
walau hatiku berat
sarat dengan rindu
yang mengikat hati
namun biarlah aku pergi

seketika aku terpaku bila
tusukan tajam merobek hati
namun biarlah luka yang berdarah
kelak hanya tinggal parut
yang nantinya bakal menjadi tanda
betapa pahitnya sebuah luka

aku sering keliru dengan
semua masalah yang seolah
terlalu cemburu untuk
membiarkan aku sendiri
tenang dalam peraduan
di ranjang ini mungkin inilah
takdir-Mu Tuhan

Ya Tuhanku
aku terlalu letih dan penat
izinkan aku istirehat
agar dapat ku rehatkan
lelah nafasku yang semakin
tenat menghunjat diri
moga nanti angin yang
memburuku akan berhenti
dari terus memburuku

insan doakan kesejahteraan
buat diriku insan sepi ini
andai ada dosaku kepada kalian
ampunkanlah semuanya kerana
aku ingin tenang dalam pelukan
Baghwan empunya swarga

biarlah aku diam....



23 April, 2000

Bait Ini Untuk Kamu

ingin ku rebahkan
kepalaku ke dadamu
mungkin nanti tika itu
aku mampu bercerita
tentang kisah cinta
luka dan air mata

dan sesungguhnya aku
ingin sekali berjalan
di sisimu sambil jemari
memaut lengganmu
dan kusandarkan
mukaku ke bahumu

namun tika ku lihat
puncak merapi itu
yang terasa hanya
hangat api neraka
membuat aku tersedar
kita tak mungkin bersama
kerana syurgaku di kakinya



17 Mei, 2000

Andai Kau Kenali Aku

andai kau kenali aku
kau temui kehampaan
dalam setiap langkahku

andai kau kenali aku
kau terpaksa jelajahi
setiap ruang sepi hatiku

andai kau kenali aku
kau temui penyesalan
dalam setiap denyut nadiku

andai kau kenali aku
kau memperjudikan rasa
bagi menyingkap tabir rahsiaku

andai kau kenali aku
kau kenali kecewa
kerna aku tak punya apa



18 Julai, 1999

sajak Yang Dilupakan

Telah diputuskannya
janji cinta seseorang
di suatu masa
di suatu tempat
namun jiwanya
masih di situ



Universiti Malaya

Wednesday, June 27, 2007

Sajak Buat Syakir

Sebelum kau duduk
menumpang di rahim ibu
tiga subuh aku tersentak sedar
mimpi sama berulang-ulang
suara ayat suci dialun merdu
seorang wanita hamil tanpa wajah
leka duduk mentelaah

Maka bertanyalah aku
"Siapakah gerangan pemilik suara merdu
mendayu-dayu mengalunkan Firman Allah?"

Berkatalah satu suara
"Dialah seorang yang Syakir yakni
orang yang sentiasa bersyukur"

Satu hari tika ibu leka memerhati
muslimin pulang selepas solat Jumaat
engkau tiba-tiba meronta ingin keluar
dari alam rahim ke alam fana

maka berselokalah aku sambil tersenyum
"Anakku sayang engkau terlewat
menunaikan solat Jumaat"

Setahun telah berlalu
dari saat mata mu bertemu mata ku
hati ku bertaut hati mu
engkaulah penawar duka hati ku
engkaulah lelaki yang kedua
ku cinta selepas Babah mu
kerana syurgaku di kakinya
dan syurgamu di kaki IBU...



Kuala Lumpur

Sepasang Nuri

Sepasang nuri
di dahan mati
merenung sesama sendiri

Jantan;
Cinta?
Tidak!
Cinta?
Hmmm... Tidak!!

Betina;
Cinta!
Benci?
Aku cinta...

Akhirnya yang tinggal kini
hanya dahan yang mati
menjadi bukti cinta sang nuri
bertepuk sebelah tidak berbunyi



rerun circa 2000

Falsafah Cinta

aku tidak punya
falsafah dalam cinta
cuma aku sering
teringat pesan mereka

kata temanku cinta ertinya
terluka, kecewa dan derita
tapi aku tidak percaya
kerana ku yakin cinta
milik yang Maha Esa

Kata ummi ku pula
jika engkau mencintai lelaki
cinta hanya separuh hati
tapi aku tidak mengerti
kerana ku yakin cinta
adalah ketentuan Ilahi

kata walid ku pula
cinta selagi tidak dapat
sudah dapat hilang cintanya
tapi aku tidak setuju
kerana ku yakin cinta
fitrahnya bukan begitu

namun yang sering terngiang
kata arwah Atuk ku
cinta itu luhur andai
dibajai dengan keikhlasan
budi dan peribadi
dan yang penting sekali
cintai Allah dan Rasul
kerana dengan cinta itu
kau tidak akan kenal erti
luka, kecewa dan putus asa



Kuala Lumpur
rerun circa 14042000

Siri Sajak Buat Noha


Noha I

sepagi ini ketika
beburung berkicap riang
yang terdengar hanya
sindir sang gagak seolah
mentertawakan kisah kita

namun kau dan aku
masih mampu tersenyum
dan berbicara tentang
keindahan hasil tulisan
mereka yang bergelar
sasterawan negara

cerita tanah, air dan udara
semua terungkap bersama
sesekali terselit jua
kisah cinta luka dalam
senda yang bersahaja


Noha II

kau tulis lagi lagu itu
bertabir di celahan rindu
namun aku tidak mampu
tersenyum dan ketawa
kerana jiwa penuh hiba

lagu itu kau biarkan
tertulis tanpa melodi
dan aku cuba bernyanyi
tapi kau hanya memerhati
tanpa kata dan suara

katakan Noha adakah aku perlu
berdiri menghampiri
mengharap suatu masa
kau mengerti rasa yang
tersimpan di hati


Noha III

sering ku angankan jemarimu
mencalitkan sindur di dahiku
dengan lafaz ijab dan qabul
ikatkanlah mangar sutra
di jari manisku sebagai bukti kasih kita

dan mimpi menjawap semua
persoalan yang teradu pada-Nya
andai itu takdir kita berpisah buat selamanya
aku terima dengan redha

tersurat sudah sekufu dia buatmu
aku seharusnya menduga
epilog cinta berakhir
episod luka bermula
semenjak kau tiada

namun hatiku pejal menantimu
ku harap lagi mimpi itu
walau ku tahu hadirmu
bukan takdir untukku


Noha IV

Noha, ku tatap lagi
matamu yang jernih berkaca
sejernih air telaga
ataukah hanya getar jiwa
dimainkan asmara

mungkinkah sinar mata
Oedipus dan Jocasta
yang kau miliki membuat
aku melangkah bagai
tidak terjejak tanah

lantas berani ku dakapi
jasad terdedah penuh ghairah
namun yang terdengar
derik desah api menongkah
aku jadi tuna kama
malah tuna segala

dengan suara hiba
dialun manzil sebagai shifa'
buat diri yang sakit
jiwa dan raga


Noha V

Noha, sudah sampai noktahnya
dan aku terpaksa memilih
untuk terus bermimpi
atau menghadapi realiti

lantas ku biarkan namamu
terpahat di sejarah diri
kerana aku tidak mampu
membunuh kata hati

camar yang berterbangan
meneriakkan lagu bayu
bercerita tentang sepasang jiwa
yang ditakdir bertemu

dalam bicara bisu
bunyi ombak menghempas batu
bagaikan memberitahu yang
aku perlu berlalu

sempat ku renung matamu
di celahan pucuk Rhu
dan ku dakap erat
gambarmu di hatiku



circa2000
Pantai Sepat Kuantan, Pahang

Kejayaan

Memang benar,
adakala kita keliru
dengan arah dan tujuan

Memang benar,
adakala kita tertipu
dengan indahnya pujian

Namun,
semakin banyak cabaran
semakin bernilailah kejayaan



rerun circa 2000

Senyap Dan Sunyi

Aku masih lagi menganyam
buih-buih kenangan
menjadikannya selimut sunyi
dan diammu membiakkan
sel-sel zarah senyap
dalam lingkungan daerah sepimu

Pergilah!! kata hatimu
Pergilah!! kata hatiku
di situ kita terpisah

lantas kita bina tembok
dari serpihan kaca luka
merawat sengsara diri
dalam senyap dan sunyi



Kuala Lumpur
01081422H

Hayad

Percikan darah merata
Semua makhluk berhimpun
Terdengar mereka berbisik
Sesama sendiri
Manusia ini sesat!
Manusia ini munafik!
Biar dia mati terseksa!

Manusia itu
Terlentang jasadnya
Luka di dadanya
Membuakkan darah
Namun tiada siapa
Yang membantunya

Manusia itu seolah
Dihukum untuk menderita
Apa yang telah terjadi?
Soalku kepada manusia itu
Sambil mengoyakkan secebis
Bahagian hijabku
Buat menyumbat luka
Di dada nya

Namaku Hayad!
Aku ditikam oleh cintaku
Jiwaku tak dapat diselamatkan
Lagi luka ini terlalu dalam
Tinggal sedetik lagi
Hanya sedetik saja lagi.....

2 Jamadilawal 1412H
Jasad Hayad di masuk ke lahad
Jiwanya telah mati
Dan aku terus melangkah
Meninggalkan pusara cinta itu
Dengan tekad untuk
Tidak menoleh lagi!



Jumaat
06102000

Cinta Pada-Mu

Dermaga ini menjadi saksi
betapa lukanya hati
saat cinta yang dibajai
dihujani duri-duri

Merpati yang ku lepaskan
berusaha untuk kembali
mengikat hati dengan janji
milik-Mu Ya Rabbi

Wahai diri yang hilang
kembalilah alunkan syair
musafir atma mencari cahaya
walau sekilas cuma

Duduk antara dua sujut
jari telunjuk lurus
kifarahlah hamba ini
moga nanti dengan izin-Mu
layak ku langkaui
pintu taubat-Mu
Ya Ghafur..



rerun circa 2001

Mungkinkah Sakura Mekar?

Mungkinkah sakura mekar
musim salji di North Carolina?
Ataukah bumi itu kini
meriah dengan tulip-tulip merah
menguntum mengorak senyum
menyambut datangnya musim bunga
penuh warna-warna

aku yang berteleku di jendela
menghirup asap jelaga
bukit-bukit menghijau
telah rata semua
villa-villa mewah terdiri
ganti hutan dara yang ternoda
dan tiada siapa yang enak diajak bicara



Kuala Lumpur
17042003

Kosong

menjejak bandar ini
segalanya kosong
sekosong fikiran
sekosong perasaan
dan sekosong duit
di saku bajuku



rerun circa 2000

Mengantuk

ketika khutbah
tersenguk mengangguk
macam burung belatuk

habis salam
semua mencapai tilam
tidur sambil berjalan



rerun circa 2000

Di Usia Senja

air mata ibu tumpah
cerita tentang kekandanya
terpaksa menyusukan cucu
anak kepada anaknya

jenuh dulu kekandanya
menyusukan anak-anak
kini bila usia senja
terpaksa pula menyusukan
anak kepada anaknya

kata ibu lagi
kekandanya itu penat
mengais rezeki dulu
untuk anak-anak
kini pula untuk
anak kepada anaknya

kekandanya ingin rehat
seperti teman-teman seusianya
duduk mengenang zaman muda
sambil merehatkan tulang tua



rerun circa 2000

Bingkai Gambar #2

Bingkai kosong jadi saksi
apa yang ingin ku lupa
itu yang sering ku ingat



04042003
10.28pm

Bingkai Gambar #1

Bingkai gambar
tanpa gambar
ku renung hambar



02042003
11.22pm

Tanpa Tajuk #24

Entah apa yang merasuk
Aku gentayangan sendiri
Tanpa arah tanpa suara
dan sikap diam mu
melemaskan benak ku



02042003
11.20pm

Khob Khun*

senja itu sekali lagi
berdiri ia sepi
sambil mata merenung
cahaya mentari
merah terbakar

sukar rasanya
hendak ia tinggalkan
keindahan nikmat
warna-warni cahaya
saat-saat akhir
terbenamnya mentari

namun tika melangkah
sempat ia menoleh
tersenyum sedikit
namun senyumnya belot
terlihat bibirnya bergetar
berbisik hampir tak terdengar
Khob Khun Krab....


*bahasa Thailand yang bermaksud terima kasih



rerun circa 2000

Bisikan Kama

Hembuskan rindu
di pancaindera dengar ku
lagukan getar sukma
di deria sentuh ku
belailah rambut angan ku
dengan bisikan kama

dengan rindu dan dendam
doalah moga nanti kita akan
berbicara tentang benih
yang bakal lahir dari
kasih dan sayang



15032003

Novel

Semasa mula membaca novel itu dulu
kita mulakan dengan sama rasa
karya kita pun sama jiwa
dan tika itu semua indah belaka

Di pertengahan novel itu
kita mula menyelami rasa
setiakah kita pada kata
sedangkan takdir jelas nyata

Di akhir novel itu
kau tuliskan kata
ada yang enggan lepaskan
ada yang enggan lupakan

Dan di akhir novel itu juga
ku coretkan rahsia
yang aku sebenarnya
telah tuna segala rasa



09032003

Orang-orang

Di tengah bendang lengkap berpakaian
Orang-orang mendepang tangan
Mungkin esok hari yang cerah
Burung-burung tidak singgah
Hasil padi pun tidak terjamah



07032003

Mengeluh

Tiada perkataan mengeluh
dalam kamus dirimu
dan aku pula jenuh
mencari kata ganti
dengan erti dan makna
yang hampir serupa

Mungkin benar kirta
dari daerah yang berbeza
kerna dalam persamaan
kita tetap asing
cara dan rasa

Lantas di akhir ayat
ku coretkan kata
Aku sentiasa doakan
kau bahagia....



28022003

Sajak Aku, Kau dan Kita

Kau;
Dengan rasa keakuan

Aku;
Dengan rasa kekitaan

Kau;
Engkau-engkau!

Aku;
Aku-aku?

Kita;
Sebahagian
Keduniaan



01032003

Belajar Untuk Berenang

Aku perlu belajar berenang
Untuk ke seberang denganmu
Kerana lemahnya kederatku
Bakal membuat engkau jemu
Atau mungkin lebih mudah
Aku belajar berenang dulu
Dan dengarlah pujukkan ku
Tak usahlah kau tunggu aku



03052005

Tanpa Tajuk #8

Pergilah
Seberang
Lautan

Semakin
Dekat
Kau

Semakin
Sengsara
Aku



240205

Mak Engku (1)

Mak Engku senyumnya malu
Langkahnya perlahan dan tenang
Setenang wajahnya dimamah usia
Namun apa yang menbuat
Aku kagum dan bangga
Hidupnya hanya untuk agama



Kuala Lumpur

Penat

Susah untuk merasa jariku sendiri
Segala menjadi tegar, jiwaku nanar
Melihat segala durjana manusia
Membuat aku terlalu penat untuk berkata



100505
Ruang Tamu

Wednesday, May 16, 2007

Gadis Berbatik Sutera

Indah warna-warna
Batik sutera di ampaian
Meliuk-liuk ditiup angin
Lembutnya meramas rasa
Menjerat hati teruna
Si gadis putih kuning
Berketang dada batik sutera
Keliru antara budaya
dan kehendak agama



050405
Ruang Tamu

Kuala Lumpur

Monday, May 14, 2007

Kenapa Kau

Kenapa kau!
Tak reti bahasa ke?
Atau kau keturunan
Yang merempat!
Tak tahu diri!
Pergi! Pergi!
Jangan datang dekat!
Aku jijik!
Kenapa kau!
Tak reti bahasa ke!



280505
Kuala Lumpur

Nota : Jerkah seorang gila yang jijik melihat orang jijik melihatnya

Tuesday, May 8, 2007

Hasad

Senyuman di bibir
Ikhlasnya tidak di hati
Rasa dengki menyulam
Menghasilkan selembar
Angkara durjana
Manusia sifatnya
Tidak pernah puas
Dengan apa yang ada!



100505
Ruang Tamu

Kuala Lumpur

Pepaku Di Dahan

Berterbangan spora-spora
Mencari tempat berpaut
Menumpang buat mencengkam akar
Dan sedikit demi sedikit
Milikmu menjadi miliknya
Dan tanpa kau sedar
Tubuhmu mati sebab berbudi


220505
Balik Pulau, Pulau Pinang

Saturday, May 5, 2007

Terima Kasih Cinta

Terima kasih cinta
Kerana meminjamkan aku cahaya
Sekarang ku kembalikan kepadamu
Ku tahu kau tak memerlukannya
Simpan saja atau mungkin
andai kau nekad
Campak saja ia ke laut


230505
Bukit Bendera, Pulau Pinang

Friday, May 4, 2007

Kehidupan

Tiupan angin musim panas
Melekatkan debu di bajuku
Tudung yang tersibak ku tarik malu
Di hujung anjung ku lihat
Merpati sejoli riang menari
Aku sendiri, bersuaka di sini
Untuk terus hidup?
Atau menunggu mati?

250105
Islamic Arts Museum M'sia

Thursday, May 3, 2007

Mungkin

Apa saja mungkin
dan kemungkinan itu
Memungkinkan kita
Menilai segala mungkin
yang mungkin datang
dalam segala bentuk kemungkinan
Seperti katamu mungkin
Ya mungkin saja kita
telah ditakdirkan bersama..




Kuala Lumpur

Sunday, April 29, 2007

Face

There is very beautiful
Light from far I see
Very cold wind blow
I just can't feel
My own face anymore



10052005
Kuala Lumpur

Wednesday, April 25, 2007

Hidupku

Hidupku berputar
Mengikut kehendak-Nya
Maafkan aku kerana
Selama waktu ini aku
Tidak pernah melupakanmu
Di setiap hela nafasku
Di setiap denyut nadiku
Mungkin benar aku perlu
Mengaku kalah dan
Meletakkan penyer
ahan
Hanya kepada Allah..



03062005
Kuala Lumpur

Tuesday, April 17, 2007

Joran Pancing

Sutera itu untuk kalian
Kami bentangkan agar kalian
Duduk menelentang merehatkan
Urat yang tegang

Di waktu musim sejuk
Di kala hujan dingin
Di saat kami tidak
Lagi memancing

Joran ini kami
Serahkan kepada kalian
Pergilah kalian
Memancing haruan

Sambil ketawa gelak gembira
Usah bimbangkan kami
Kerana kami elok belaka



11012007
Kuala Lumpur


Note : Yang memancing terpancing.