Petang yang aman, petang yang cerah
Aku baru selesai mengoreng keropok lekor
Dan membancuh seteko teh ‘o’
Kemudian duduk di beranda
Menanti pulangnya suamiku
Tiba-tiba loceng pintu berbunyi
Aku mencapai jubah dan hijabku
Berjalan ke pintu dan mengintai
Di lubang pintu rumahku
Berdiri disebalik pintu
Dua Sarah melambai-lambaikan tangan
Senyum lebar diwajah mereka
Mengisyaratkan agar pintuku buka
Perlahan pintu ku buka
Bertanya apa perlu mereka
Cuti-cuti begini dari mana saja mereka?
Cuti-cuti begini mahu mengulangkajikah mereka?
Jauh dua Sarah datang
Semata hendak memberi aku hadiah
Duit yang mereka kumpul dari
Duit belanja yang tak seberapa
Sebuah bingkai gambar berwarna biru
Dengan tiga kuntum bunga matahari di bucu kirinya
“Satu itu saya, satu itu dia”
Kata dua Sarah
“Satu yang ditengah itu Cikgu”
Terharu aku mendengarnya
Petang itu kami minum bersama
Girang dua Sarah mengunyah keropok lekor
Dan roti yang kusapu mentega dan kaya
Itu terakhir aku bertemu mereka
Lama selepas itu baru kudengar khabar berita
Dalam perjalanan balik dari rumahku
Duit mereka berdua dicuri orang
Mereka terpaksa berjalan kaki pulang
Tak cukup itu mereka dirotan kerana lewat pulang
Selang beberapa minggu kemudian
Rumah setinggan mereka di tolak jentera
Malang yang bertimpa-timpa
Aku hilang jejak kedua mereka
Bingkai gambar walau telah patah sendalnya
Masih jugaku simpan rapi di peti
Setiap aku melihat bunga matahari
Dua Sarah yang kusayang kuterkenangkan
Kemas dalam ingatanku yang pernah bergelar Cikgu
31032011
Kuala Lumpur
Kutulis buat Dua Sarah (Nur Sarah Deyana Abdul Wahab & Siti Maisarah Othman). Dua Sarah berjaya dalam hidup mereka. Satu itu di Brunei. Satu itu di Australia. Satu yang ditengah itu masih di Malaysia. Walau sudah bersara dari kerjaya Guru. Masih juga Dua Sarah panggil ‘Cikgu’. Terima kasih.