..: SolitudeInMind's Registered Copyright :..

Tuesday, November 30, 2010

Topeng





Sabar sayangku
Aku sedang memakai topeng
Maaf, tunggu sebentar
Aku terlupa
memasangkan senyum





30112010
Kuala Lumpur

Saturday, November 27, 2010

Nikmat Syurga



Dalam satu lafas
Ijab dan kabul
Terhindar zina dan dosa
Nikmati dengan aman
Salah satu nikmat syurga




27112010
Kuala Lumpur

Terserah




Bencilah aku semahumu
Carilah segala burukku
Caci-makilah aku dihatimu
Fitnahlah aku sesukamu
Terserah!
Segala jaki dengkimu
Sedikit pun tidak melemahkan aku





26112010
Tanjung Malim

Thursday, November 25, 2010

LUKA



Mari
Tunjukkan padaku
Di mana luka
Ditubuhmu
Kerana parutnya
Sedikit pun
Tidak terlihat



25112010
Kuala Lumpur

Wednesday, November 24, 2010

Alhamdulillah




Segala Puji Bagi Allah
Yang Menjadikan Aku Dan Kamu
Yang Meletakkan Sempadan
Antara Dosa Dan Pahala





24112010
Kuala Lumpur

Tuesday, November 23, 2010

Sajak Buat Ma : FINALE



i

Demi Tuan
Di atas sana
Aku tidak menyangka
Bertemu kamu
Hari ini

ii

Ma,
Kamu tidak seperti
Yang aku bayangkan
Kamu,
Kamu,
Kamu pendek!

Ma, maaf  
Jangan marah
Hidup aku
Senda gurau
Kehidupan itu sendiri
Sering acap kali 
Mempermainkan aku

iii

Ma,
Tinggi kamu
Diangkat manusia

Doaku,
Moga mereka ikhlas kepadamu
Seperti kamu ikhlas kepada mereka

iv

Ma,
Benar katamu dulu
"Luka ini anugerah
Mungkin Tuhan ingin
Mengangkatku jadi dewa"

Amin.

v

Ma,
Maaf bila aku
Tidak menegurmu
Aku tiada perasaan
Kecuali sedikit kecewa
Bila melihat ada
Garis benci diwajahmu
Sedang permusuhan
Bukan agenda ku

vi

Ma,
Bertemu kamu pertama kali
Waktu ini, di hari ini
Mungkin anugerah buatku
Agar aku dapat mengenalmu
Di akhirat nanti.

FIN.





REWRITE
08112010

Monday, November 8, 2010

Sujudku Kali Ini


Tuan.
Lamanya sujudku kali ini.
Bukan kerana syukur.
Tapi kerana menyesali.
Dosa-dosa silamku.


06112010
Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah Kuantan

Saturday, November 6, 2010

Cacah



Kamu ibarat sesuatu
Yang tercacah di otak
Enggan hidup!
Enggan mati!
Cuma kekal di situ



9.30AM
06112010
Kuala Lumpur

Wednesday, October 20, 2010

Sajak Buat Bidadari Cahayamataku




Suatu masa dulu
Di sinilah pertama kali
Aku menitiskan airmata
Untuk lelaki yang tidak
Sedikit pun mencintai aku

Betapa bodohnya aku
Menangisi yang sia-sia
Sedang jelas garis takdir
Tidak berhorizontal di sini
Dia tidak dicipta untukku

Hari ini aku bawa kau ke mari
Aku ingin mencipta yang indah
Di sini pertama kali kau menjejak kaki
Merasa garangnya ombak menyapa kaki
Merasa telusnya pasir membenamkan jari

Di pantai ini aku ingin kau lihat
Setiap jejak yang bertapak
Akan hilang lenyap dibasuh ombak
Begitu cinta makhluk sesama
Akan tuna segala rasa akhirnya

Manisku lihat mataku dan belajar
Aku tidak pernah rasa kecewa
Kerana Tuhan memberiku cahaya
Mengubat segala kecewa duka
Dengan cara yang sangat istimewa

Gadisku ingatlah pesananku
Jika engkau terjatuh dan luka
Jangan kau hulurkan tanganmu
Meminta-minta dikasihani manusia
Cukuplah Allah dan Rasul pelindungmu

Anakku tidak kuminta balas jasa
Cukuplah kau bahagia dunia akhirat
Aku ingin menciptakan yang indah
Moga kau tidak takut menghadapi hari
Dengan yakin Tuhan sentiasa disisi.



NOTA : Sajak ini kutulis khas untuk anak gadisku yang bakal menyambut ulang tahun pertamanya tidak lama lagi. Sayang.. jangan terlalu cepat ingin dewasa. Mama masih ingin dipeluk dan memelukmu..
16102010
Pantai Teluk Cempedak
Kuantan Pahang



Thursday, October 14, 2010

Sebelum Dan Setelah Terjaga



Sebelum kau pejamkan mata
Apa yang kau lihat?
Siapa yang kau ingat?

Setelah kau terjaga
Apa yang kau ingat?
Siapa yang kau lihat?





14102010
Kuala Lumpur

Sunday, October 10, 2010

Gila



Yang pelik tidak semestinya gila
Yang gila tidak semestinya pelik



10102010
Kuala Lumpur

Friday, October 8, 2010

Coklat



Cintamu ibarat coklat
Yang mengemukkan aku



08102010
Kuala Lumpur

Thursday, October 7, 2010

Kupu-kupu



Akulah kupu-kupu
Yang hinggap dibahumu
Aku tidak kekal disitu
Sekadar memberimu rasa
Teruja yang sementara
Singgahku untuk berlalu
Kerana matlamatku hanya
Menghisap sakar madumu
Setelah hilang dahagaku
Aku tinggalkan kamu
Selamanya..



07102010
Kuala Lumpur

Saturday, October 2, 2010

Cinta

Bila terlalu mencintai
Tak sanggup memiliki
Kerana kau mahukan bahagia
Dan bahagia tiada padaku




01102010
Kuala Lumpur

Friday, September 24, 2010

Wednesday, September 22, 2010

Nur Hidayah

Aku tidak pernah menangis
Untuk siapa pun
Untuk apa pun
Tetapi kamu sering membuat
Airmataku jatuh

Ya Rasulullah
Aku tidak mampu membunuh
Rasa cinta pada dunia
Yang mengakari urat nadiku

Ya Rasulullah
Aku lemah kalah pada nafsu
Yang menjadi parasit
Di setiap pembuluh jantungku

Ya Rasulullah
Aku ingin menjadi umatmu
Tetapi dosa yang banyak
Merantai setiap langkahku

Ya Rasulullah
Bantulah aku
Aku impi syafaatmu
Aku impi jadi umatmu
Aku impi Nur Hidayahmu



22092010
Kuala Lumpur

Antara Petunjuk dan Kesesatan

Dijualnya petunjuk
Dibelinya kesesatan
Berdabik dada megah
Dengan dosa-dosa
Sedangkan Pemilik syurga
Di atas sana sentiasa
Membentangkan tangan-Nya
Siang dan malam menerima
Taubat hamba-hamba-Nya



06092010
Kuala Lumpur

Wednesday, August 25, 2010

Janji Ikral

Telahku gariskan janji dihatiku
Kupatrikan ikral kemas di dada
Hidup dan matiku hanya untuk-Mu



25082010
Kuala Lumpur

Tuesday, August 24, 2010

Hanya Dengan Izin-Mu

Dekatnya bagai di hujung jari
Kenyataan jauh sungguh untuk kucapai
Walau bulat hasratku dan tekad niatku
Namun jika belum sampai izin-Mu
Tidak tergapai dayaku



24082010
Disisi Ainul
Kuala Lumpur

Tuesday, August 17, 2010

Lensa

Duniamu duniaku
Di lensa kamera
Berbeza wajah




02042010
Kuala Lumpur