..: SolitudeInMind's Registered Copyright :..

Tuesday, October 20, 2009

Detik

Tiba-tiba degup jantungku
Sepantas detik setiap saat
Agaknya kita berkongsi nadi
Jantung di dadamu
Dan jantung di dadaku
Tidak sabar berdakap
Di alam nyata.



20102009
Kuala Lumpur

Friday, October 9, 2009

Takdir

Telah kubuka semua pintu
Namun tidak bertemumu
Lantas bersimpuh aku
Sudah hilang dayaku
Mahu merangkakkah
Atau harus bertatih
Selangkah bemi selangkah
Mungkin sudah tiba
Saatnya untuk aku
Menyerah pada takdir




09102009
Kuala Lumpur

Sunday, September 13, 2009

Aman

Adakah kita merasa aman dari dosa
Atau lebih parah lagi bila
Kita merasa aman dengan dosa



090909
Madrasah Al Ehsaniah
Kuala Lumpur

Wednesday, August 5, 2009

Berahi Cinta

Berahi orang bercinta
Gagang telefon pun
Jadi ghairah dicium



050809
Kuala Lumpur

Monday, August 3, 2009

Diam

Aku diam
Terlalu lama
Hingga lupa
Bagaimana
Berbicara



Kuala Lumpur
31072009

Saturday, February 21, 2009

Ego Daun

Kerana ego daun-daun tua
Habis dicantas pucuk-pucuk muda



15022009
Kuala Lumpur

Thursday, February 5, 2009

Rekah

Peliknya cinta
Bila setiap rekah
Di kulit wajahmu
Menarik perhatianku



Kuala Lumpur
05022009

Wednesday, January 21, 2009

Tidur


Mereka tidur lena?
Atau
Kita yang lena tertidur?

19012009
Kuala Lumpur

Thursday, November 20, 2008

Pantai Ini Kali Ini

Berkali-kali ombak menyapa kaki
Mungkin ini kali yang terakhir
Kakiku bertemu ombakmu

Pelik bila kali yang ini
Hatiku tidak gelora lagi
Hiba tidak terasa kini

Dengan deburan ombak ku lepaskan
Sisa pasir yang terlekat di kaki
Bersama rasa yang berbaki di dada

Aku kini boleh pulang
Tanpa hiba tanpa kecewa
Kerana jiwaku lega



09112008
Pantai Teluk Cempedak
Kuantan Pahang

Lelah

Sudah tiba dihujung
Teringgat awal mula

Lelah di permulaan
Lelah di pertenggahan
Lelah di penghujung

Tidak terasa apa
Awal hingga akhir



20112008
Kuala Lumpur

Sunday, October 26, 2008

Pertemuan

Cacahkan di dada waktu
Aku adalah perindu cinta
Nampak biru di telapak kaki
Nampak hijau di depan mata

Catatkan akulah perindu itu
Yang duduk di bangku masa
Menanti bilakah takdir
Menemukan kita



26102008
Kuala Lumpur

Saturday, October 25, 2008

Masa

Setelah jauh masa meninggalkan
Baru tersedar betapa terlewat
Bila lutut sakit bila sujud
Bila kaki berat untuk berdiri
Bila nafas asyik tersekat
Bila masa jadi terlalu singkat
Masih sempatkah mengejar ibadat
Bila langit tidak dapat ditongkat



25102008
Kuala Lumpur

Tuesday, July 15, 2008

Pagi Begini

Pagi-pagi begini
Apa mahu mu?

Pagi-pagi begini
Apa cari mu?

Pagi-pagi begini
Apa laku mu?

Pagi-pagi begini
Apa doa mu?



15072008
Kuala Lumpur

Saturday, July 12, 2008

Kasih Nenek

Jangan diherdik
Jangan dijentik
Jangan dicubit
Cucu nenek

Begitu kasih nenek
Terlupa betapa dulu
Birat anak dirotan
Untuk mengajar



12072008
Kuala Lumpur

Monday, June 30, 2008

Kuasa

Aku gariskan sendu
menjadi tenda rindu
lelah sudah nafasku
diasak-asak fitnah
kuasaku di tangan kalian kah?



30062008
Kuala Lumpur

Wednesday, March 26, 2008

Tikus

I

Jariku digigit tikus
Mungkin darahmu masih manis
(usik temanku)
Mustahil, aku sudah terlalu tua
Darahku pula telah tuna rasa

Esoknya aku memasang perangkap
Tikus itu mesti ku jerat
Nantinya akan ku ajar ia
menghormati hak orang lain


II

Namun tikus itu sebenarnya bijak
Setelah dijamahnya umpan
Jejak tidak ditinggalkan
Malah wujudnya pun dinafikan



12032002

Tuesday, March 25, 2008

Semurni Kasih

jernih matanya
menyembunyi keringat
ulas semyuman
merahsia kepayahan

dosa apakah gerangan
hingga kemuliaan
dibalas dengan kecurangan
sedang syurga di kakinya

mampukah melutut
memohon restu
redhakanlah
Ya Tuhanku

tertitip sudah taufik hidayah
tinggal sendiri untuk berbuat
belum terlewat untuk bertaubat
mengikut jalan yang tersurat

Ya Rasyid, semurni kasih-Mu
berikanlah kekuatan padaku
mendapatkan keredhaan-Mu
di dalam keredhaannya



08032000


Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Jika dibolehkan manusia menyembah manusia, aku mahu
memerintahkan seorang isteri menyembah suaminya...."

Menam Kolok

gadis sunti di seberang
melambai tangan mengundang
dengan lirikan mata jeli
kulit putih melepak
yang bersadur dengan bedak

perlu bersampankah kita
atau randuk saja
air yang separas peha
biar nanti basah dan
sejuk kita bersama

lelaki tua di sebelah
tersenyum membariskan gigi
kuning lagi berkarat
sambil tangannya ligat
mengulung rokok daun

matanya seolah mengisyarat
pilihlah sampan mana
yang paling disuka
tak perlu bayar muka
dan janganlah tergesa

wanita tua di anjung
duduk bersimpuh kaki
merah bibirnya
kesan sirih yang dikunyah
lumat tapi enggan diluah

wajah bonda tergaris kisah usia
muncul dengan tiba-tiba
alangkah enak menjilat jari
setelah puas menjamah nasi
berlauk paceri nenas dan ikan masin

gadis melambai hilang seri
wajah bonda menguasai
lantas kaki melangkah pergi
meninggalkan kisah sehari
Menan Kolok di dinihari



15032000

Cahaya

Senja di langit merah yang berarak
Membawa berita duka dan luka
Saudara seagamaku telah gugur
Di usia muda anak gadis

Mungkin baginya jasad tiada nilai
Walau berkecai diledakkan bom
Kerana jiwanya merdeka
Dan jihadnya untuk agama



Circa2002

Novel

Semasa mula membaca novel itu dulu
kita mulakan dengan sama rasa
karya kita pun sama jiwa
dan tika itu semua indah belaka

Di pertengahan novel itu
kita mula menyelami rasa
setiakah kita pada kata
sedangkan takdir jelas nyata

Di akhir novel itu
kau tuliskan kata
ada yang enggan lepaskan
ada yang enggan lupakan

Dan di akhir novel itu juga
ku coretkan rahsia
yang aku sebenarnya
telah tuna segala rasa



Circa2002