..: SolitudeInMind's Registered Copyright :..

Thursday, November 20, 2008

Pantai Ini Kali Ini

Berkali-kali ombak menyapa kaki
Mungkin ini kali yang terakhir
Kakiku bertemu ombakmu

Pelik bila kali yang ini
Hatiku tidak gelora lagi
Hiba tidak terasa kini

Dengan deburan ombak ku lepaskan
Sisa pasir yang terlekat di kaki
Bersama rasa yang berbaki di dada

Aku kini boleh pulang
Tanpa hiba tanpa kecewa
Kerana jiwaku lega



09112008
Pantai Teluk Cempedak
Kuantan Pahang

Lelah

Sudah tiba dihujung
Teringgat awal mula

Lelah di permulaan
Lelah di pertenggahan
Lelah di penghujung

Tidak terasa apa
Awal hingga akhir



20112008
Kuala Lumpur

Sunday, October 26, 2008

Pertemuan

Cacahkan di dada waktu
Aku adalah perindu cinta
Nampak biru di telapak kaki
Nampak hijau di depan mata

Catatkan akulah perindu itu
Yang duduk di bangku masa
Menanti bilakah takdir
Menemukan kita



26102008
Kuala Lumpur

Saturday, October 25, 2008

Masa

Setelah jauh masa meninggalkan
Baru tersedar betapa terlewat
Bila lutut sakit bila sujud
Bila kaki berat untuk berdiri
Bila nafas asyik tersekat
Bila masa jadi terlalu singkat
Masih sempatkah mengejar ibadat
Bila langit tidak dapat ditongkat



25102008
Kuala Lumpur

Tuesday, July 15, 2008

Pagi Begini

Pagi-pagi begini
Apa mahu mu?

Pagi-pagi begini
Apa cari mu?

Pagi-pagi begini
Apa laku mu?

Pagi-pagi begini
Apa doa mu?



15072008
Kuala Lumpur

Saturday, July 12, 2008

Kasih Nenek

Jangan diherdik
Jangan dijentik
Jangan dicubit
Cucu nenek

Begitu kasih nenek
Terlupa betapa dulu
Birat anak dirotan
Untuk mengajar



12072008
Kuala Lumpur

Monday, June 30, 2008

Kuasa

Aku gariskan sendu
menjadi tenda rindu
lelah sudah nafasku
diasak-asak fitnah
kuasaku di tangan kalian kah?



30062008
Kuala Lumpur

Wednesday, March 26, 2008

Tikus

I

Jariku digigit tikus
Mungkin darahmu masih manis
(usik temanku)
Mustahil, aku sudah terlalu tua
Darahku pula telah tuna rasa

Esoknya aku memasang perangkap
Tikus itu mesti ku jerat
Nantinya akan ku ajar ia
menghormati hak orang lain


II

Namun tikus itu sebenarnya bijak
Setelah dijamahnya umpan
Jejak tidak ditinggalkan
Malah wujudnya pun dinafikan



12032002

Tuesday, March 25, 2008

Semurni Kasih

jernih matanya
menyembunyi keringat
ulas semyuman
merahsia kepayahan

dosa apakah gerangan
hingga kemuliaan
dibalas dengan kecurangan
sedang syurga di kakinya

mampukah melutut
memohon restu
redhakanlah
Ya Tuhanku

tertitip sudah taufik hidayah
tinggal sendiri untuk berbuat
belum terlewat untuk bertaubat
mengikut jalan yang tersurat

Ya Rasyid, semurni kasih-Mu
berikanlah kekuatan padaku
mendapatkan keredhaan-Mu
di dalam keredhaannya



08032000


Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Jika dibolehkan manusia menyembah manusia, aku mahu
memerintahkan seorang isteri menyembah suaminya...."

Menam Kolok

gadis sunti di seberang
melambai tangan mengundang
dengan lirikan mata jeli
kulit putih melepak
yang bersadur dengan bedak

perlu bersampankah kita
atau randuk saja
air yang separas peha
biar nanti basah dan
sejuk kita bersama

lelaki tua di sebelah
tersenyum membariskan gigi
kuning lagi berkarat
sambil tangannya ligat
mengulung rokok daun

matanya seolah mengisyarat
pilihlah sampan mana
yang paling disuka
tak perlu bayar muka
dan janganlah tergesa

wanita tua di anjung
duduk bersimpuh kaki
merah bibirnya
kesan sirih yang dikunyah
lumat tapi enggan diluah

wajah bonda tergaris kisah usia
muncul dengan tiba-tiba
alangkah enak menjilat jari
setelah puas menjamah nasi
berlauk paceri nenas dan ikan masin

gadis melambai hilang seri
wajah bonda menguasai
lantas kaki melangkah pergi
meninggalkan kisah sehari
Menan Kolok di dinihari



15032000

Cahaya

Senja di langit merah yang berarak
Membawa berita duka dan luka
Saudara seagamaku telah gugur
Di usia muda anak gadis

Mungkin baginya jasad tiada nilai
Walau berkecai diledakkan bom
Kerana jiwanya merdeka
Dan jihadnya untuk agama



Circa2002

Novel

Semasa mula membaca novel itu dulu
kita mulakan dengan sama rasa
karya kita pun sama jiwa
dan tika itu semua indah belaka

Di pertengahan novel itu
kita mula menyelami rasa
setiakah kita pada kata
sedangkan takdir jelas nyata

Di akhir novel itu
kau tuliskan kata
ada yang enggan lepaskan
ada yang enggan lupakan

Dan di akhir novel itu juga
ku coretkan rahsia
yang aku sebenarnya
telah tuna segala rasa



Circa2002

Lambaian Kaabah

Aku sedang leka
melirikkan puisi
menjadi lagu

Dari jauh ku dengar
Lolong suara mendayu
Syahdu memuji nama-Mu
Asyik dalam selawat tsalbiah

Labbaikallahumma Labbaik
Labbaikala Syarikalakalabbaik
Innal Hamda Wani'qmata
Lakawalmulka Laa-syarikalaka...

Tuhanku
bilakah giliranku
mengadap-Mu



15032002

Ma Di Mana (Sajak Buat Ma)

Ma di mana
nak ku catatkan namamu
biar hanya sebahagian

Ma di mana
burung camar yang dulu
riang menyanyikan lagu

Ma di mana
hilang janji bertemu
di banjaran itu

Ma di mana
katamu biar apa terjadi
aku tetap di hati

Ma di sini
Ku campakkan bayang dirimu
dan daerah sepi itu
tidak akan lagi ku tamu



12032002

Matlamat Cinta

Ketika kau suguhkan
segelas sirap merah
aku meminumnya tanpa bertanya

Setelah habis ku minum
kau tersenyum dan berkata
tahukah apa yang telah kau minum
dan aku hanya menggeleng

kau minum sebahagian darah
yang mengalir di batinku katamu
masakan begitu soalku

Sambil mengengam jemariku
kau bisikkan mesra
mari ku ajarkan pada mu
bagaimana batinku sudah
berada di perut mu....



12022002

Malam Pertama

Kamar sesuram cahaya itu
tiba-tiba sahaja menjadi hangat
di birai ranjang ku lihat engkau
leka menguis jari kaki kanan mu
dengan jari kaki kiri mu

Saat ku duduk di sisi mu
engkau menginsut menjarak malu
lantas ku tarik jemarimu mendekat
dan ku bisikkan nafasku hampir ke lehermu

Bukalah sayang hijabmu
aku ingin melihat warna-warna
indah di bibir dan di dadamu
dan kamar ini nanti bakal
berubah warna dan rasa
kerana aku mula terbaukan haruman bunga



12022002

Lihatlah

mereka mengcanangkan dosa
bangga dengan kata-kata
mereka hebat belaka

silu mereka sudah tiada
di taman-taman di kaki lima
mereka membuktikan cinta

bila di tanya jawap mereka
sebelum kami hidup bersama
nikmati dulu indah musim cinta

mungkin mereka terleka
hidup bukan selamanya
atau mungkin mereka terlupa
Tuhan melihat setiap dosa



21012002

Junk

Today..
You said you love me
But then..
when there is no love
Just put my name
in your JUNK list..



19012002

Kota Airmata

Terdengar sedih berita
kisahnya kota airmata
dalam sebahagian manusia
mencari redha Tuhannya
sebahagian sibuk berjual beli
bukan setakat gelang dan celak
malah ada menjaja diri

aku cuma tersenyum
kemudian tawaku jadi hiba
di hati berkata
insaflah wahai manusia
aku dulupun seorang pendosa
tapi tak pernah merasa bahagia
pulanglah sementara
pintu taubat masih terbuka..



19 Januari 2002

Kisah Cerita

ku selak singkap
helaian kainnya yang nipis
ku intai keindahan
rahsia garis-garis
hitam di dadanya

saban malam aku tertewas
dalam dakap ghairah
meneroka dengan mata
keindahan lakaran cerita
dan ku terlena di dadanya

bila terjaga paginya
ku singkap kembali helaian nipis
sekali lagi ku telanjangi
dengan mata dan jari
mentelusuri garis-garis
di dada "BUKU CERITA"...



Kuala Lumpur
1 Syaaban 1422