..: SolitudeInMind's Registered Copyright :..

Friday, June 29, 2007

Khabar Buat Rin

Rin,
kata mereka aku pendosa
hanya kerna jatuh cinta
setelah aku berpunya

Rin,
kata mereka tiada tempat
untuk aku di syurga
hanya kerna aku jatuh cinta
setelah aku berpunya

Rin,
kata mereka pintu taubat tertutup
semua jalan tertutup buat ku
hanya kerna aku jatuh cinta
setelah aku berpunya

Rin,
kata mereka kifarah Tuhan
jelas nyata di dunia
hanya kerna aku jatuh cinta
setelah aku berpunya

Rin,
itu kata mereka
itu hina mereka
itu caci mereka
itu nista mereka

Rin,
dan kini aku tak punya siapa
hanya kerna aku jatuh cinta
setelah aku berpunya



Kuala Lumpur
12 Ogos 2003

Surat

kata mu;
surat ini ku tulis dengan airmata
aku tidak pernah menangis
untuk apa pun,
untuk sesiapa pun
tapi kau...
kau... kau...aahh...
engkau lain..

kata ku;
lain apalah yang ada padaku Tuan?
andai Tuan kenali aku
aku tak punya apa,
aku tak punya sesiapa
tapi aku...
aku... aku...aahh...
aku rindu kamu..



21 Julai 2003
Kamar Study
Kuala Lumpur

Sukma, Raga, Minda

sukma...
soalmu tidak terjawap
mungkin kerna raga
mengalah sebelum minda
sempat membuahkan ilham
lantas pertanyaanmu sukma
dijawap dengan pertanyaan

raga...
penyerahanmu nanti bakal jadi sia-sia
kerna kau tahu bukan
minda dan akal waras
tidak pernah sehaluan
dengan nafsu yang mengepalai
tindak-tanduk raga yang terlupa

minda...
mungkin kadang rasa tidak berdaya
menguasai kewarasan akalmu
walau sesekali engkau kalah
bukankah manis sebuah pengalaman
bisa mengubat sakitnya sebuah luka

lantas...
sukma, raga dan minda
mengapa kalian berbalahan sesama
andai terjadi dosa bukankah silapnya kalian juga
jika berpahala bukankah manfaatnya kalian juga

lalu...
lupakan persengketaan
bukankah bila-bila sahaja
pintu itu sentiasa terbuka
dan titik temu walau sejarak manapun
pastikan jadi satu kerna
Tuhan yang di atas
tidak pernah berlaku zalim



Kuala Lumpur
100703
11.28pm

Bicara Buat Ummi

ummi masih ku ingat
titisan jernih mengalir
bila kau suarakan kisah
derita zaman remaja
serta sengsara usia tua

aku cuba tersenyum
menyembunyi sebak di dada
aku juga semakin tua
dan kini mula merasa
betapa nikmatnya usia muda

aku akui benar kata ummi
berat matamu memandang
berat lagi bahuku memikul
dan sering hatiku berkata
aku bahagia! aku bahagia!
hanya mencintai Dia



17 Mei, 2000

Biarlah Aku Diam

mungkin inilah kali
terakhir aku singgah
di medan coretan ini
walau hatiku berat
sarat dengan rindu
yang mengikat hati
namun biarlah aku pergi

seketika aku terpaku bila
tusukan tajam merobek hati
namun biarlah luka yang berdarah
kelak hanya tinggal parut
yang nantinya bakal menjadi tanda
betapa pahitnya sebuah luka

aku sering keliru dengan
semua masalah yang seolah
terlalu cemburu untuk
membiarkan aku sendiri
tenang dalam peraduan
di ranjang ini mungkin inilah
takdir-Mu Tuhan

Ya Tuhanku
aku terlalu letih dan penat
izinkan aku istirehat
agar dapat ku rehatkan
lelah nafasku yang semakin
tenat menghunjat diri
moga nanti angin yang
memburuku akan berhenti
dari terus memburuku

insan doakan kesejahteraan
buat diriku insan sepi ini
andai ada dosaku kepada kalian
ampunkanlah semuanya kerana
aku ingin tenang dalam pelukan
Baghwan empunya swarga

biarlah aku diam....



23 April, 2000

Bait Ini Untuk Kamu

ingin ku rebahkan
kepalaku ke dadamu
mungkin nanti tika itu
aku mampu bercerita
tentang kisah cinta
luka dan air mata

dan sesungguhnya aku
ingin sekali berjalan
di sisimu sambil jemari
memaut lengganmu
dan kusandarkan
mukaku ke bahumu

namun tika ku lihat
puncak merapi itu
yang terasa hanya
hangat api neraka
membuat aku tersedar
kita tak mungkin bersama
kerana syurgaku di kakinya



17 Mei, 2000

Andai Kau Kenali Aku

andai kau kenali aku
kau temui kehampaan
dalam setiap langkahku

andai kau kenali aku
kau terpaksa jelajahi
setiap ruang sepi hatiku

andai kau kenali aku
kau temui penyesalan
dalam setiap denyut nadiku

andai kau kenali aku
kau memperjudikan rasa
bagi menyingkap tabir rahsiaku

andai kau kenali aku
kau kenali kecewa
kerna aku tak punya apa



18 Julai, 1999

sajak Yang Dilupakan

Telah diputuskannya
janji cinta seseorang
di suatu masa
di suatu tempat
namun jiwanya
masih di situ



Universiti Malaya

Wednesday, June 27, 2007

Sajak Buat Syakir

Sebelum kau duduk
menumpang di rahim ibu
tiga subuh aku tersentak sedar
mimpi sama berulang-ulang
suara ayat suci dialun merdu
seorang wanita hamil tanpa wajah
leka duduk mentelaah

Maka bertanyalah aku
"Siapakah gerangan pemilik suara merdu
mendayu-dayu mengalunkan Firman Allah?"

Berkatalah satu suara
"Dialah seorang yang Syakir yakni
orang yang sentiasa bersyukur"

Satu hari tika ibu leka memerhati
muslimin pulang selepas solat Jumaat
engkau tiba-tiba meronta ingin keluar
dari alam rahim ke alam fana

maka berselokalah aku sambil tersenyum
"Anakku sayang engkau terlewat
menunaikan solat Jumaat"

Setahun telah berlalu
dari saat mata mu bertemu mata ku
hati ku bertaut hati mu
engkaulah penawar duka hati ku
engkaulah lelaki yang kedua
ku cinta selepas Babah mu
kerana syurgaku di kakinya
dan syurgamu di kaki IBU...



Kuala Lumpur

Sepasang Nuri

Sepasang nuri
di dahan mati
merenung sesama sendiri

Jantan;
Cinta?
Tidak!
Cinta?
Hmmm... Tidak!!

Betina;
Cinta!
Benci?
Aku cinta...

Akhirnya yang tinggal kini
hanya dahan yang mati
menjadi bukti cinta sang nuri
bertepuk sebelah tidak berbunyi



rerun circa 2000

Falsafah Cinta

aku tidak punya
falsafah dalam cinta
cuma aku sering
teringat pesan mereka

kata temanku cinta ertinya
terluka, kecewa dan derita
tapi aku tidak percaya
kerana ku yakin cinta
milik yang Maha Esa

Kata ummi ku pula
jika engkau mencintai lelaki
cinta hanya separuh hati
tapi aku tidak mengerti
kerana ku yakin cinta
adalah ketentuan Ilahi

kata walid ku pula
cinta selagi tidak dapat
sudah dapat hilang cintanya
tapi aku tidak setuju
kerana ku yakin cinta
fitrahnya bukan begitu

namun yang sering terngiang
kata arwah Atuk ku
cinta itu luhur andai
dibajai dengan keikhlasan
budi dan peribadi
dan yang penting sekali
cintai Allah dan Rasul
kerana dengan cinta itu
kau tidak akan kenal erti
luka, kecewa dan putus asa



Kuala Lumpur
rerun circa 14042000

Siri Sajak Buat Noha


Noha I

sepagi ini ketika
beburung berkicap riang
yang terdengar hanya
sindir sang gagak seolah
mentertawakan kisah kita

namun kau dan aku
masih mampu tersenyum
dan berbicara tentang
keindahan hasil tulisan
mereka yang bergelar
sasterawan negara

cerita tanah, air dan udara
semua terungkap bersama
sesekali terselit jua
kisah cinta luka dalam
senda yang bersahaja


Noha II

kau tulis lagi lagu itu
bertabir di celahan rindu
namun aku tidak mampu
tersenyum dan ketawa
kerana jiwa penuh hiba

lagu itu kau biarkan
tertulis tanpa melodi
dan aku cuba bernyanyi
tapi kau hanya memerhati
tanpa kata dan suara

katakan Noha adakah aku perlu
berdiri menghampiri
mengharap suatu masa
kau mengerti rasa yang
tersimpan di hati


Noha III

sering ku angankan jemarimu
mencalitkan sindur di dahiku
dengan lafaz ijab dan qabul
ikatkanlah mangar sutra
di jari manisku sebagai bukti kasih kita

dan mimpi menjawap semua
persoalan yang teradu pada-Nya
andai itu takdir kita berpisah buat selamanya
aku terima dengan redha

tersurat sudah sekufu dia buatmu
aku seharusnya menduga
epilog cinta berakhir
episod luka bermula
semenjak kau tiada

namun hatiku pejal menantimu
ku harap lagi mimpi itu
walau ku tahu hadirmu
bukan takdir untukku


Noha IV

Noha, ku tatap lagi
matamu yang jernih berkaca
sejernih air telaga
ataukah hanya getar jiwa
dimainkan asmara

mungkinkah sinar mata
Oedipus dan Jocasta
yang kau miliki membuat
aku melangkah bagai
tidak terjejak tanah

lantas berani ku dakapi
jasad terdedah penuh ghairah
namun yang terdengar
derik desah api menongkah
aku jadi tuna kama
malah tuna segala

dengan suara hiba
dialun manzil sebagai shifa'
buat diri yang sakit
jiwa dan raga


Noha V

Noha, sudah sampai noktahnya
dan aku terpaksa memilih
untuk terus bermimpi
atau menghadapi realiti

lantas ku biarkan namamu
terpahat di sejarah diri
kerana aku tidak mampu
membunuh kata hati

camar yang berterbangan
meneriakkan lagu bayu
bercerita tentang sepasang jiwa
yang ditakdir bertemu

dalam bicara bisu
bunyi ombak menghempas batu
bagaikan memberitahu yang
aku perlu berlalu

sempat ku renung matamu
di celahan pucuk Rhu
dan ku dakap erat
gambarmu di hatiku



circa2000
Pantai Sepat Kuantan, Pahang

Kejayaan

Memang benar,
adakala kita keliru
dengan arah dan tujuan

Memang benar,
adakala kita tertipu
dengan indahnya pujian

Namun,
semakin banyak cabaran
semakin bernilailah kejayaan



rerun circa 2000

Senyap Dan Sunyi

Aku masih lagi menganyam
buih-buih kenangan
menjadikannya selimut sunyi
dan diammu membiakkan
sel-sel zarah senyap
dalam lingkungan daerah sepimu

Pergilah!! kata hatimu
Pergilah!! kata hatiku
di situ kita terpisah

lantas kita bina tembok
dari serpihan kaca luka
merawat sengsara diri
dalam senyap dan sunyi



Kuala Lumpur
01081422H

Hayad

Percikan darah merata
Semua makhluk berhimpun
Terdengar mereka berbisik
Sesama sendiri
Manusia ini sesat!
Manusia ini munafik!
Biar dia mati terseksa!

Manusia itu
Terlentang jasadnya
Luka di dadanya
Membuakkan darah
Namun tiada siapa
Yang membantunya

Manusia itu seolah
Dihukum untuk menderita
Apa yang telah terjadi?
Soalku kepada manusia itu
Sambil mengoyakkan secebis
Bahagian hijabku
Buat menyumbat luka
Di dada nya

Namaku Hayad!
Aku ditikam oleh cintaku
Jiwaku tak dapat diselamatkan
Lagi luka ini terlalu dalam
Tinggal sedetik lagi
Hanya sedetik saja lagi.....

2 Jamadilawal 1412H
Jasad Hayad di masuk ke lahad
Jiwanya telah mati
Dan aku terus melangkah
Meninggalkan pusara cinta itu
Dengan tekad untuk
Tidak menoleh lagi!



Jumaat
06102000

Cinta Pada-Mu

Dermaga ini menjadi saksi
betapa lukanya hati
saat cinta yang dibajai
dihujani duri-duri

Merpati yang ku lepaskan
berusaha untuk kembali
mengikat hati dengan janji
milik-Mu Ya Rabbi

Wahai diri yang hilang
kembalilah alunkan syair
musafir atma mencari cahaya
walau sekilas cuma

Duduk antara dua sujut
jari telunjuk lurus
kifarahlah hamba ini
moga nanti dengan izin-Mu
layak ku langkaui
pintu taubat-Mu
Ya Ghafur..



rerun circa 2001

Mungkinkah Sakura Mekar?

Mungkinkah sakura mekar
musim salji di North Carolina?
Ataukah bumi itu kini
meriah dengan tulip-tulip merah
menguntum mengorak senyum
menyambut datangnya musim bunga
penuh warna-warna

aku yang berteleku di jendela
menghirup asap jelaga
bukit-bukit menghijau
telah rata semua
villa-villa mewah terdiri
ganti hutan dara yang ternoda
dan tiada siapa yang enak diajak bicara



Kuala Lumpur
17042003

Kosong

menjejak bandar ini
segalanya kosong
sekosong fikiran
sekosong perasaan
dan sekosong duit
di saku bajuku



rerun circa 2000

Mengantuk

ketika khutbah
tersenguk mengangguk
macam burung belatuk

habis salam
semua mencapai tilam
tidur sambil berjalan



rerun circa 2000

Di Usia Senja

air mata ibu tumpah
cerita tentang kekandanya
terpaksa menyusukan cucu
anak kepada anaknya

jenuh dulu kekandanya
menyusukan anak-anak
kini bila usia senja
terpaksa pula menyusukan
anak kepada anaknya

kata ibu lagi
kekandanya itu penat
mengais rezeki dulu
untuk anak-anak
kini pula untuk
anak kepada anaknya

kekandanya ingin rehat
seperti teman-teman seusianya
duduk mengenang zaman muda
sambil merehatkan tulang tua



rerun circa 2000