..: SolitudeInMind's Registered Copyright :..

Wednesday, June 22, 2011

Nothing Broken

IMG_7582

I’m standing in front of you

If I step back

Nothing is broken

If I move forward

Nothing is broken

And if I stayed

Still, nothing is broken

So I stand here

Embraced what I have

As long as nothing is broken

 

22062011

Tuesday, June 21, 2011

Kekayaan Kita

(Sajak Buat Shamin)

IMG_7432

Hari pertama tibanya musim panas

Aku berdiri melihat terbitnya matahari

Angin panas menghembus wajahku

Hangatnya tidak sedikit pun menghilangkan

Dingin yang mengakari hati sanubariku

 

Aku terkenangkan lembutnya wajahmu

Apa yang terlindung di sebalik sayu matamu

Apa yang tersimpan di raut wajahmu

Apa yang kau pendamkan terlalu lama

 

Cinta kadang tidak memihak kepada kita

Apa yang kita sangka baik untuk kita

Belum tentu benar baiknya

Apa yang kita kira buruk buat kita

Juga belum tentu benar buruknya

 

Redha dan pasrah dengan semua?

Mungkin bukan perkataan

Yang ingin kau dengar dari mulutku

Tapi hanya itu yang mampu ku ucapkan dari jauh

Kerana aku tidak berada didudukmu

Tidak aku tahu rasa yang kau rasa

Cuma mampu mengagak betapa sakitnya luka dicalari

Kata-kata orang yang lena sekatil denganmu

 

Sabar adalah perkataan yang penuh di kamus hidupmu

Aku tidak akan menambahkan lagi

Perkataan itu di dalam kamus tatabahasamu

Aku tahu kau cukup faham maknanya

Kerana sudah sedekad kau bergelut dengannya

Bukan juga aku yang layak menilai tingkahmu

Segalanya terserah bulat ditanganmu

 

Aku akan selalu di sini berdiri di belakangmu

Dalam suka, dalam duka, dalam apa jua

Sudah sampai masanya kau berehat

Menyandarkan diri di pangkin cinta

Jauh dari kesumatnya amarah

Jauh dari api yang membakar diri

Jauh dari kuku yang mencengkam wujudmu

Jauh dari sifat manusia yang ingin menjatuhkanmu

 

Berjalan angkat matamu lihat ke hadapan

Jangan kau terus-terusan berjalan sambil melihat kaki

Jangan kau pasangkan putus asa di bahumu

Yakinlah Tuhan sentiasa bersamamu

Doaku akan sentiasa kekal bersamamu

Kerana doa adalah kekayaanku

Kekayaan kita

Kekayaan manusia

 

21062011

Monday, June 20, 2011

Sayang (18)

(Pesan Kasih Sayang a.k.a Cinta Buat Anakku)

IMG_7486[1]

Sayang,

Perlahankan langkahmu

Jangan biarkan aku tertinggal jauh

Pimpin tanganku dan berjalanlah disisiku

Aku bakal semakin memanjat usia tua

Sementara itu nikmati saat-saat ini bersamaku

Sebelum pantasnya langkahmu tidak terkejar olehku

 

20062011

Ji (19)

 

IMG_7506[1]

 

Ji,

Tolong payunggi aku dari tirisnya hujan

Aku ingin berehat sebentar di pangkin cinta

Sebelum meneruskan perjalanan

Yang penuh berliku denganmu

 

20062011

Sunday, June 19, 2011

Bapa

 

IMG_7456

 

Bapa adalah lembu garang

Jarang mengorak senyum

Takut dihampiri sukar didekati

 

Duduknya didepan sekali

Menghalau yang tak diundang

Menjaga yang menjadi miliknya

 

Kata-katanya hanya di mata

Senyumnya hanya di minda

Suka dukanya hanya di dada

 

Selamat Hari Bapa

Buat bapa-bapa sedunia

 

19062011

Pembangkai

 

IMG_7464[1]

 

Hidup jika hanya sekadar ingin

Memuaskan benda di antara dua peha

Maka jadilah kamu seperti vulture

Yang hidupnya makan bangkai-bangkai

 

19062011

Thursday, June 16, 2011

Ji (18)

 

Image0793

 

Ji,

Pagi ini bulan gerhana

Aku di sini

Kau di sana

Kita solat sunat bersama

 

16062011

Wednesday, June 15, 2011

Ji (17)

 

IMG_7100

 

Ji,

Aku ikhlas mencintaimu

Kerana dua yang kau ada

Solat yang kau jaga

Quran yang kau baca

 

15062011

Tuesday, June 14, 2011

Ji (16)

 

IMG_6954

 

Ji,

Aku tidak sempurna

Kau juga begitu

Bila bersama

Kita melengkapi sesama

 

14062011

Sayang (17)

(Pesan Kasih Sayang a.k.a Cinta Buat Anakku)

 

IMG_7238

 

Sayang,

Cantikmu jangan ditunjuk

Jika terlalu banyak ditunjuk

Yang cantik jadi aib

 

14062011

Monday, June 13, 2011

Ji (15)

 

IMG_7346

 

Ji,

Di kitab Tuhan tertulis

Para kekasih yang bercinta di dunia

Kelak bermusuhan di akhirat sana

Aku tak mahu begitu

Aku ingin mencintaimu

Selamanya

 

13062011

Sunday, June 12, 2011

Anak

 

IMG_7363

 

Anak-anak yang sudah

Semakin dewasa

Kadang membuka

Rahsia siapa kita

 

12062011

Ayah

 

IMG_7131

 

Ayah,

Maafkan Along kerana dulu

Selalu hadiahkan Ayah pemetik api

Mungkin kerana masa itu Along hanya

Melihat betapa akrabnya Ayah dengan rokok

Lebih dari akrabnya Ayah dengan Along

Dari hujung puntung ke hujung puntung

Dari sepuntung ke sepuntung

 

Kelmarin hari lahir cucu lelaki sulung Ayah yang ke-9

Dia sibuk hendak meniup lilin kecil yang 9 batang itu

Satu rumah kami cari pemetik api tidak jumpa

Kalau Ayah masih hidup tentu tak jadi masalah

 

Tapi Ayah,

Kalau dulu Ayah tak kuat merokok

Mungkin Ayah ada lagi sekarang

Sambut hari lahir cucu-cucu Ayah

 

Ayah,

Selamat Hari Bapa

Cucu-cucu Ayah rindu Ayah

Al-fatihah

 

12062011

Abi Ainul Abah Syakir

 

IMG_7029

 

Selamat Hari Bapa, Babah

Terima kasih kerana menjaga kami dengan baik

Setiap titik peluh Babah yang mengalir untuk kami

Kami pohon Tuhan membalasnya dengan nikmat

Yang melimpah ruah banyaknya di syurga kelak

 

12062011

Wednesday, June 1, 2011

Ji (14)

 

Image0744

 

Ji,

Bersabarlah denganku

Aku mendoakan bidadari

Untukmu di syurga

 

01062011

Tuesday, May 31, 2011

Ji (13)

 

Image0795

 

Ji,

Malam-malam begini

Engkau disisi

Tiada yang lebih

Ku syukuri selain ini

 

31052011

Monday, May 16, 2011

Guru

(Selamat Hari Guru Buat Semua Guru-Guru. Sajak ini khas buat Sahabatku Robbie Rizal. Selamat Hari Guru Robbie)

 

IMG_7231

 

Guru seharusnyalah jiwa raga

Nafsunya jadi mutmainnah

Bila melihat bulatnya mata

Bila melihat lebarnya senyum

Anak-anak yang cukup pintar

Memikirkan seribu satu cara bagaimana

Menaikkan tekanan darah gurunya

Mereka menadi cerminan sabar

Melaskar asyik citra cita impi

Maka redhalah hati seorang pendidik

Melihat cerdiknya anak-anak

Yang sentiasa mahu tahu segala sesuatu

 

16052011

Saturday, May 14, 2011

Ji (12)

 

Image0773

 

“Ji,

Sudikah kau menjadi saksi

Aku ingin jadi penderma organ

Bila aku sudah mati nanti”

 

[HANTAR SMS]

 

**

 

[SMS MASUK]

 

“Tidak! Jangan kau mimpi!

Aku akan minta pada Tuhan

Bila kau mati organmu rosak semua

Kerana walau saat dan ketika itu

Jasadmu sudah tiada guna padaku

Tetap aku tidak rela sesiapa pun

Melihat dan memilikinya”

 

***

 

Ji,

Kasarnya romantik mu

 

14052011

Wednesday, May 11, 2011

Ji (11)

 

Image0794

 

Ji,

Sebabkan rindu aku lalu depan rumahmu

Terharu membaca nota di pintu

 

“SILA BUANG BAYI ANDA DI SINI

PINTU RUMAH INI SENTIASA TERBUKA

UNTUK BAYI YANG TIDAK BERDOSA”

 

Ji,

Kau buat aku jatuh cinta kepadamu

Untuk kali yang ke…? Ah!..

Tidak cukup jari aku membilangnya

 

11052011

Sunday, May 8, 2011

Ibu

(Kad Ucapan Selamat Hari Ibu Daripada Seorang Anak Luar Nikah Buat Ibu Yang Tidak Pernah Kenalinya)

 

IMG_7094

 

Ibu,

Terima kasih kerana tidak

Menggugurkan aku sebelum lahirku

Dan terima kasih kerana tidak

Membunuh aku setelah lahirku

 

Ibu,

Terima kasih kerana kau

Menyerahkan aku kepada orang

Aku memahami ketidak berdayaanmu

Aku tahu kau lakukan itu kerana kasihmu

 

Ibu,

Selamat Hari Ibu

Dosa-dosamu ku pohon Tuhan ampunkan

 

08052011

Friday, April 29, 2011

Ji (10)

 

Image0646

 

Ji,

Jika aku mati dulu

Cari penggantiku

Jangan kau terus

Dalam pembujangan

Ingat itu pesanku

 

Tapi Ji,

Tidakkah kau ingin

Berpesan yang sama kepadaku

Atau kau ingin aku karatan

Hanya mencintai kamu?

 

28042011

Ji (9)

 

Image0504

 

Ji,

Dulu masa kecil

Aku biasa lihat orang tembak

Gagak hitam yang terlalu banyak

Sekarang orang suka-suka

Tembak-tembak bangunan sekolah

Dunia sudah tidak aman untuk berjalan

 

27042011

Sunday, April 24, 2011

Ji (8)

 

23-12-07_1359

 

“Ji, langit malam ini cerah

Di sini aku melihat bintang-bintang

Di sini aku melihat buruj-buruj

Adakah kau melihat ke langit

Memerhati bintang dan buruj sama sepertiku?”

 

[HANTAR MESEJ]

 

**

 

[MESEJ MASUK]

 

“Tidak!

Aku sedang melihat

Lantai rumah orang

Di bumbung rumahku

Sudah pergi tidur!”

 

**

 

Ah! kau memang tak romantis Ji

Menyampah!

 

23042011

Kuala Lumpur

Ji (7)

 

23-12-07_1203

 

Ji,

Sudah sudah

Sudahlah sudah

Sudah sudahlah

Kenapa kau mengejarku?

Aku terlalu gemuk untuk berlari

Tapi demi kamu triathlon pun aku rela

 

22042011

Kuala Lumpur

Ji (6)

 

02-01-05_0343

 

Ji,

Mari duduk disisiku

Lihat jernihnya tasik

Di situ ada banyak ikan

Yang gemuk itu aku

Yang kurus itu kamu

Ah! semua itu alasanku

 

Sebenarnya,

Aku hanya ingin menyentuh

Sejuknya telapak tanganmu

 

21042011

Kuala Lumpur

Thursday, April 21, 2011

Ji (5)

 

IMG_1051

 

Berjauhan begini

Sangat membebankan

Aku ingin selalu

Bangun denganmu

Meletakkan pipi

Di rusuk kirimu

Mencium penuh asyik

Feromon testosteron mu

Ah! akulah Lailamu yang majnun

 

21042011

Kuala Lumpur

Ji (4)

 

12-05-06_1659

 

Ji,

Dukaku lupus

Lukaku hapus

Hampaku lenyap

Kecewaku hilang

Sengsaraku gugur

Bagai dosa yang titis

Bersama wudhuk

Bagai phoenix yang bangkit

Dari abu yang terbakar

Aku wujud bila kau ada

 

20042011

Kuala Lumpur

Ji (3)

 

IMG_0930

 

Ji,

Kopi yang pahit

Jika dicicip denganmu

Enaknya kalah Luwak

 

19042011

Kuala Lumpur

Ji (2)

 

10-09-06_1849

 

Ji,

Getar suaramu

Mengetarkan resahku

Aku tak biasa begini

Kau yang pertama

Ku letakkan rasa

Yang sangat asing ini

 

18042011

Kuala Lumpur

Ji (1)

 

01-02-09_1736

 

Ji,

Pagi ini aku bangkit

Mengenang kembali

Saat mula kenal

Dan pagi ini tiba-tiba

Jadi sangat indah

 

17042011

Kuala Lumpur

Sejam Mengenalimu

 

IMG_0996

 

Sejam mengenalimu hatiku terpaut

Pada bundarnya matamu

Namun Tuhan meminjamkan kau seketika

Kemudian kau kembali kepada Pencipta

Aman kau disimpan-Nya di syurga

Di sana nanti kita berjumpa

Dalam dakap yang kekal abadi

Innalillahiwainnailaihirojiun.

 

15042011

Kuala Lumpur

Wednesday, April 13, 2011

Sajak Buat Sarah (2)

 

IMG_7104[1]

 

Sarah,

Masih setahun jagung umurmu

Jangan sia-siakan jadi hamba cinta

Cuba lihat jalan dihadapanmu

Masih panjang dan berliku-liku

 

Sarah,

Rasa ingin memiliki dan dimiliki

Itu lumrah naluri manusiawi

Berhati-hati jangan serah segala

Simpan untuk yang benar sejati

 

Sarah,

Apa yang ada dihatimu itu

Tanpa kau sedar sangat murni

Jangan kau cemarkan rasa itu

Dengan menyerah kepada yang palsu

 

Sarah,

Lihat siapa yang sentiasa disisimu

Ibu dan ayah di bahu kananmu

Adik-beradik di bahu kirimu

Maruahmu, maruah mereka

Cintamu, cinta mereka

 

11042011

Kuala Lumpur

Sajak Buat Akira San

 

IMG_7045[1]

 

Akira san,

Masih ingatkah saat mula kenal

Aku mengatakan namamu seakan nama artis porno

Dan sebagai membalas ejekkan ku

Kau mengatakan yang aku tipikal taliban

Lantas aku membalas “HAMPEH”

Membuat kau bertanya apa maknanya

Dalam gurau yang bersahaja

Aku menjawap maknanya ‘belut’

Yang dalam bahasamu kau sebut ‘unagi’

Kemudian kita ketawa bersama

 

Semenjak itu kita sering berbalas ‘emoticon’

“Hari ini aku moody” katamu

“Aku extra moody” jawabku

 

Ada ketika kau hanya menyatakan bimbangmu

“Aku rasa Professor ku membenci aku” adumu

Dan aku hanya menambah bimbangmu

“Aku tahu kerana aku yang menghasutnya” kataku

“Hampeh!” balasmu sambil menjulingkan mata

Dan aku akan ketawa terbahak-bahak

 

Saat aku mendengar berita

Negaramu dilanda gempa

Dan dibadai ganas tsunami

Aku melayangkan email kepadamu

Dan sudah hampir sebulan berlalu

Emailku masih belum kau balas

 

Aku sangat bimbangkan kamu

Masih hidupkah kau Akira san?

Aku belum sempat mendakwahkan syahadah kepadamu

 

09042011

Kuala Lumpur

Thursday, April 7, 2011

Politik Jari Hantu

 

Image0483

 

Aku mengenggam semua jariku

Hanya satu ku biar berdiri

Jari hantuku kutujukan

Untuk politik dunia!

 

07042011

Kuala Lumpur

Wednesday, April 6, 2011

BERHANTU

 

IMG_5876

 

Bangunan bila tinggi

Berhantu

Banyak ‘Mati Mengejut’

Dibunuh hantu

 

06042011

Kuala Lumpur

AIB

 

IMG_5868

 

Aib orang jangan letak

Di muka depan

Takut nanti aib kita

Paling depan ditayang

Di depan Tuhan

 

06042011

Kuala Lumpur

Tuesday, April 5, 2011

Kaca Fantasi

 

IMG_1468

 

Mereka adalah bahan kaji

Dikurung sangkar kaca

Mengejar citra cita fantasi

Kekal mereka selamanya

Dikurung kaca impi

 

05042011

AEON AU2

Lapang Dada

(Buat Adikku Yang Tersilap Booking Tiket Kapal Terbangku. Haha! Sabar je lah!)

 

IMG_1702

 

Bila malang menjengahmu

Bila marah menguasaimu

Bila impimu dicantas dengki

Bila yang kau rancang tak menjadi

Bila silapmu tidak boleh diubah lagi

Kembali kepada Tuhanmu

 

04042011

Kuala Lumpur

Kerabat Keramat

 

IMG_1704

 

Matahari yang terik di ubun-ubun

Tidak sehangat bahasa yang disantunkan

Dalam beban-beban dosa yang dihalalkan

Dalam balut-balut hamper bertingkat-tingkat

Walau tenggelam tubuhku dalam air

Panasnya tidak sedikit pun kurang

Mereka semua kerabat-kerabat

Aku jadi keramat yang kekal bangkang

Enggan tunduk angguk walau dijanji

Limbungan yang sangat gah

 

03042011

Wet World Shah Alam

Monday, April 4, 2011

Hari Lahir

(Ucapan hari lahir daripada Joyah yang kuat bersukan buat Ratman bekas kekasihnya yang poyo ‘ops tersilap sudah’ yang suka poco-poco)

 

IMG_1217

 

Man,

Kamu hanyalah seekor burung

Yang punya dua biji telur di punggungmu

Jangan kamu asyik dalam ego mengeram telur

Sesekali keluar cari sesuatu mencantikkan sarangmu

Moga dua telur yang kau eram itu nanti

Menetasnya lebih indah dari bidadari syurga

Dan sebelum aku terlupa sempena hari lahir mu

Aku ingin menghadiahkan kamu sesuatu

Aku sudah memaafkan kamu! itu hadiahku

 

02042011

Desa Rejang

Poco-Poco

(Tulis Joyah yang kuat bersukan buat Ratman bekas kekasihnya yang suka poco-poco)

 

IMG_1722

 

Hatiku kau santak ke depan

Kau tolak ke belakang

Kau seret ke kanan

Kau tarik ke kiri

Perasaanku jangan kau permainkan

Cintaku jangan kau poco-pocokan

Mufti dah mengharamkan!

 

01042011

Kuala Lumpur

Doa Ibu

(Nota Seorang Ibu Mengajarkan Anak Lelaki Sulungnya Yang Dyslexia Bagaimana Membalas Jasa Orang Tuanya)

 

IMG_1736

 

Anakku,

Ketika kau berlari ke arahku

Sambil menunjukkan gambar kereta mewah

Yang bila dewasa nanti ingin kau belikan untukku

Sepatutnya aku berbangga dengan niatmu

Tetapi aku tidak mahukan itu semua

Cukup jika kau hidup lebih lama dariku

 

Anakku,

Saban hari aku kan terjaga di tengah malam

Berjalan ke bilikmu semata ingin melihat

Jika ada nyamuk yang menggigitmu

mengesat jika ada peluh didahimu

Dan aku akan duduk seketika disisimu

Tersenyum melihat lenanya tidurmu

 

Anakku,

Bila nanti aku sudah terlalu tua

Terlena dengan kedut penuh dimuka

Lemah dan tidak berdaya

Waktu itu aku tidak mengharap harta dunia

Cukup jika kau memandang aku dengan simpati

Dan tidak mendoakan aku cepat mati 

 

01042011

Kuala Lumpur

Tulang

 

IMG_1710

 

Tulang yang tercekik di tekak

Jangan kau cuba menelannya

Jolok, korek, buang jauh-jauh

Jangan ditelan merosak badan

Jangan dibuang merentang jalan

Kerana wujudnya hanya menegakkan sendi

Bila mati tak berguna lagi

Tanam saja dari menyemak bumi

 

01042011

Kuala Lumpur

Dua Sarah

 

IMG_5780

Petang yang aman, petang yang cerah

Aku baru selesai mengoreng keropok lekor

Dan membancuh seteko teh ‘o’

Kemudian duduk di beranda

Menanti pulangnya suamiku

 

Tiba-tiba loceng pintu berbunyi

Aku mencapai jubah dan hijabku

Berjalan ke pintu dan mengintai

Di lubang pintu rumahku

 

Berdiri disebalik pintu

Dua Sarah melambai-lambaikan tangan

Senyum lebar diwajah mereka

Mengisyaratkan agar pintuku buka

 

Perlahan pintu ku buka

Bertanya apa perlu mereka

Cuti-cuti begini dari mana saja mereka?

Cuti-cuti begini mahu mengulangkajikah mereka?

 

Jauh dua Sarah datang

Semata hendak memberi aku hadiah

Duit yang mereka kumpul dari

Duit belanja yang tak seberapa

Sebuah bingkai gambar berwarna biru

Dengan tiga kuntum bunga matahari di bucu kirinya

 

“Satu itu saya, satu itu dia”

Kata dua Sarah

“Satu yang ditengah itu Cikgu”

Terharu aku mendengarnya

 

Petang itu kami minum bersama

Girang dua Sarah mengunyah keropok lekor

Dan roti yang kusapu mentega dan kaya

Itu terakhir aku bertemu mereka

 

Lama selepas itu baru kudengar khabar berita

Dalam perjalanan balik dari rumahku

Duit mereka berdua dicuri orang

Mereka terpaksa berjalan kaki pulang

Tak cukup itu mereka dirotan kerana lewat pulang

Selang beberapa minggu kemudian

Rumah setinggan mereka di tolak jentera

Malang yang bertimpa-timpa

Aku hilang jejak kedua mereka

 

Bingkai gambar walau telah patah sendalnya

Masih jugaku simpan rapi di peti

Setiap aku melihat bunga matahari

Dua Sarah yang kusayang kuterkenangkan

Kemas dalam ingatanku yang pernah bergelar Cikgu

 

 

31032011

Kuala Lumpur

SunKutulis buat Dua Sarah (Nur Sarah Deyana Abdul Wahab & Siti Maisarah Othman). Dua Sarah berjaya dalam hidup mereka. Satu itu di Brunei. Satu itu di Australia. Satu yang ditengah itu masih di Malaysia. Walau sudah bersara dari kerjaya Guru. Masih juga Dua Sarah panggil ‘Cikgu’. Terima kasih.