
Ji,
Malam-malam begini
Engkau disisi
Tiada yang lebih
Ku syukuri selain ini
31052011
(Selamat Hari Guru Buat Semua Guru-Guru. Sajak ini khas buat Sahabatku Robbie Rizal. Selamat Hari Guru Robbie)

Guru seharusnyalah jiwa raga
Nafsunya jadi mutmainnah
Bila melihat bulatnya mata
Bila melihat lebarnya senyum
Anak-anak yang cukup pintar
Memikirkan seribu satu cara bagaimana
Menaikkan tekanan darah gurunya
Mereka menadi cerminan sabar
Melaskar asyik citra cita impi
Maka redhalah hati seorang pendidik
Melihat cerdiknya anak-anak
Yang sentiasa mahu tahu segala sesuatu
16052011

“Ji,
Sudikah kau menjadi saksi
Aku ingin jadi penderma organ
Bila aku sudah mati nanti”
[HANTAR SMS]
**
[SMS MASUK]
“Tidak! Jangan kau mimpi!
Aku akan minta pada Tuhan
Bila kau mati organmu rosak semua
Kerana walau saat dan ketika itu
Jasadmu sudah tiada guna padaku
Tetap aku tidak rela sesiapa pun
Melihat dan memilikinya”
***
Ji,
Kasarnya romantik mu
14052011

Ji,
Sebabkan rindu aku lalu depan rumahmu
Terharu membaca nota di pintu
“SILA BUANG BAYI ANDA DI SINI
PINTU RUMAH INI SENTIASA TERBUKA
UNTUK BAYI YANG TIDAK BERDOSA”
Ji,
Kau buat aku jatuh cinta kepadamu
Untuk kali yang ke…? Ah!..
Tidak cukup jari aku membilangnya
11052011
(Kad Ucapan Selamat Hari Ibu Daripada Seorang Anak Luar Nikah Buat Ibu Yang Tidak Pernah Kenalinya)

Ibu,
Terima kasih kerana tidak
Menggugurkan aku sebelum lahirku
Dan terima kasih kerana tidak
Membunuh aku setelah lahirku
Ibu,
Terima kasih kerana kau
Menyerahkan aku kepada orang
Aku memahami ketidak berdayaanmu
Aku tahu kau lakukan itu kerana kasihmu
Ibu,
Selamat Hari Ibu
Dosa-dosamu ku pohon Tuhan ampunkan
08052011